Orang ramai berbaris panjang sebelum dibenarkan masuk ke dalam Pasar Awam Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Orang ramai berbaris panjang sebelum dibenarkan masuk ke dalam Pasar Awam Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


WALAUPUN terpaksa berbaris di tengah panas antara 45 hingga 60 minit, orang ramai tetap bersabar semata-mata untuk masuk ke Pasar Awam Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, bagi membuat persiapan menyambut kehadiran 1 Ramadan.

Meskipun terpaksa menahan cuaca panas tanpa payung, mereka bertahan sebelum dibenarkan melangkah memasuki pasar bagi mendapatkan ikan, sayur, daging, ayam dan pelbagai bahan makanan lain.

Pengunjung berbuat demikian berikutan langkah mengawal kemasukan dan jarak sosial dikuatkuasakan anggota polis dan pegawai Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu mengelak penularan Covid-19.

Hanya seorang pelanggan dibenarkan masuk ke dalam pasar apabila ada seorang pelanggan di dalam melangkah keluar dan begitu juga jika yang keluar lebih daripada seorang.

Bagi mereka, kehadiran Ramadan harus disambut dengan usaha memastikan bahan makanan sentiasa ada untuk dijadikan juadah bersahur dan berbuka puasa kelak.

Salmiah Ahmad, 46, berkata beliau sanggup menahan kepenatan berbaris di bawah terik panas matahari selama kira-kira sejam semata-mata untuk memastikan tidak pulang tangan kosong.

“Suami dan empat anak saya berusia lima hingga 18 tahun meminta saya memasak bermacam-macam lauk untuk berbuka puasa dan saya tidak sanggup mengecewakan mereka.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku pelanggan terpaksa berbaris sejam untuk masuk ke dalam pasar, tetapi sejak PKP, kami terpaksa berbaris lama sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar,” katanya.

Kamaruddin Mohd Ali, 51, berkata beliau diminta isterinya untuk mendapatkan daging dan sayur segar di pasar berkenaan untuk dijadikan juadah sahur dan berbuka puasa kelak.

Katanya, walaupun terpaksa berbaris sejam, beliau tetap sabar untuk memenuhi permintaan isterinya, sekali gus memastikan anggota keluarganya menikmati hidangan enak ketika berbuka puasa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 10:53 PM