DR Wan Azizah menziarah keluarga tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
DR Wan Azizah menziarah keluarga tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini hadir di Kampung Bendang Surau, Morak , di sini menziarah keluarga tiga beradik yang terkorban akibat renjatan elektrik, kelmarin.

Dr Wan Azizah tiba di sini, jam 6.30 petang tadi dalam rangka lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Pasir Mas dan beliau meluangkan masa selama kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar keluarga tiga beradik berkenaan.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33 serta dua adiknya, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, maut akibat terkena renjatan elektrik selepas terpegang sebatang tiang yang membawa arus elektrik di rumah jirannya.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR meluahkan rasa simpati atas pemergian tiga beradik itu dan menyifatkan keluarga terutama ibu bapa mangsa sangat kuat berdepan dengan ujian.

"Ketiga-tiga mangsa dikategorikan sebagai mangsa banjir dan layak diberikan pampasan yang mungkin dapat meringankan beban.

"Alhamdulillah, mereka sekeluarga kuat menghadapi kehilangan ini dan kita harapkan pihak berwajib dapat menitikberatkan mengenai prasarana dan persekitaran iaitu bagaimana (aspek) keselamatan dalam apa situasi dan cuba untuk perbaiki keadaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid dan Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Sementara itu, bapa tiga beradik malang itu, Mohd Nadzir Mohamed, 67, meluahkan rasa terima kasih dan syukur atas kunjungan banyak pihak termasuk Dr Wan Azizah.

"Terima kasih kepada semua yang hadir menziarah dan turut mendoakan yang baik-baik buat tiga anak perempuan saya sama ada yang mengenali atau tidak.

"Saya rasa bersyukur dengan kehadiran banyak pihak yang hadir memberikan pelbagai bantuan serta sumbangan dan terdetik dalam hati di sebalik ujian ini ada rahmat yang tidak terduga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 8:20 PM