MOHD Nadzir (kiri) bersama isterinya, Zainun melihat gambar Nurul Syazwani, Sakinah dan Noor Fathiah, Mac lalu. FOTO arkib NSTP
MOHD Nadzir (kiri) bersama isterinya, Zainun melihat gambar Nurul Syazwani, Sakinah dan Noor Fathiah, Mac lalu. FOTO arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Semakin hampir Aidilftri, perasaan sebak semakin dirasai keluarga arwah tiga beradik wanita yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini.

Perasaan pilu dirasai terutama Mohd Nadzir Mohamed, 68, yang sehingga kini gagal melupakan tiga anak perempuannya, Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, Sakinah, 29, dan Noor Fathiah, 27, walaupun sudah empat bulan pemergian.

Kedatangan Syawal bagaikan tidak bermakna buat pesara kakitangan kerajaan itu kerana sudah tiada lagi kesibukan tiga anak gadisnya mengemas rumah, membuat kuih serta menyediakan pakaian raya buatnya serta isteri, Zainun Sulaiman, 63.

"Aidilfitri tetap disambut tapi bagi kami ia sudah tidak seperti dulu yang sangat meriah apabila semua lapan anak berkumpul di rumah dan suasana memang gamat.

"Tapi kali ini hanya lima sahaja yang tinggal dan itu pun semua (anak) lelaki kerana ketiga-tiga anak perempuan saya sudah tiada... demi Allah, memang rindu kenangan bersalam-salaman di pagi raya.

"Persiapan raya juga dilakukan secara ala kadar kerana sudah tiada yang sibuk menguruskan keperluan rumah dan isteri pun ada juga membuat sedikit kuih muih manakala yang lain hanya dibeli," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Nadzir berkata, jika sebelum ini tiga anak perempuannya saling bertanyakan persalinan warna apa yang ingin dipakainya bersama isteri tapi kali ini hanya mengenakan pakaian raya yang sudah pun dibeli anak lelaki.

Katanya lagi, sukar untuk digambarkan bagaimana suasana malam dan pagi raya nanti kerana sudah pasti akan ada bezanya memandangkan tawa Syazwani, Sakinah dan Fathiah sudah tidak kedengaran lagi.

"Ketiga-tiga mereka ada peranan masing-masing yang sudah diaturkan sesama mereka sama ada menyiapkan juadah raya atau mengemas rumah dan kami ibu bapa hanya berehat sahaja.

"Dua anak lelaki tinggal bersama, manakala tiga yang lain akan beransur pulang ke sini terutama yang menetap di Kuala Lumpur yang dijangka balik esok hari.

"Pagi raya nanti selepas Solat Aidilfitri kami sekeluarga akan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak untuk menziarah pusara tiga anak perempuan saya itu yang dikebumikan dalam satu liang," katanya yang sehingga kini tetap hadir ke pusara setiap pagi Jumaat.

Tiga beradik itu maut selepas terpegang tiang yang membawa arus elektrik di rumah jirannya ketika ingin melihat banjir.

Tragedi itu mendapat liputan meluas dan turut menarik perhatian ramai pihak termasuk beberapa pemimpin negara yang hadir menziarah antaranya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berita berkaitan:

Tiga beradik maut terkena renjatan elektrik

Nor Syazwani rebah lepas pegang tiang rumah sebelum Fatiah dan Sakinah menyusul [METROTV]

Renjatan elektrik berlaku akibat kebocoran pendawaian - Polis

Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik [METROTV]

'Allah ambil semua anak perempuan saya' [METROTV]

Rindu seorang ayah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:13 PM