HAFIDZ bersama Nurul Shuhada ketika saat bahagia.
HAFIDZ bersama Nurul Shuhada ketika saat bahagia.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Selepas pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Nurul Shuhada Mohd Shukri, 29, isterinya itu turut membuat hantaran balas di Instagram dengan mengingatkan Hafidz mengenai kejadian ditumbuk, baru-baru ini.

Dalam hantarannya, Nurul Shuhada berkata, kenyataan yang dibuat sebelum ini kerana dirinya tidak mengetahui kedudukan dari segi undang-undang.

Menurutnya, selepas kejadian 2 Mac itu berlaku, dia sudah mendapat nasihat daripada pihak berkuasa untuk tidak mengupas isu itu.

"Segala tindakan yang dibuat semuanya berdasarkan saluran undang-undang termasuklah tuntutan sivil. Apa yang dilakukan adalah untuk melindungi diri dan juga anak-anak," katanya.

Bagaimanapun, kata Nurul Shuhada, dia bersetuju dengan apa yang dikatakan Hafidz bahawa dia memang ada kelemahan dalam perkahwinan mereka.

"Saya juga sudah mencuba sehabis baik untuk menjadi isteri kepadanya termasuklah hasrat menyambung pelajaran.

"Saya juga sedar bahawa perkahwinan kami memang banyak ujian tetapi saya memilih untuk mendiamkan diri dan setia menyokong kerjaya seninya," katanya.

Nurul Shuhada berkata, pengorbanan yang dibuat selama ini seakan sia-sia apabila dia diuji dengan kehadiran orang ketiga yang mengubah kehidupannya dan anak-anak.

Menurutnya, dia berasa dikhianati Hafidz apabila apa yang berlaku tanpa pengetahuannya diketahui keluarga suami termasuklah kisah Hafidz dengan wanita terbabit.

"Pada awalnya, saya juga seperti wanita biasa yang dikhianati apabila marah, geram, kecewa dan keliru dengan apa yang jadi. Lebih-lebih lagi memikirkan nasib diri.

"Namun, cuba untuk bertenang dan memberi peluang berbincang sebaiknya sehinggalah saya menerima penganiayaan yang kejam dengan 10 jahitan di muka," katanya.

Katanya, dia sama sekali tidak minta untuk diadili, tetap berharap agar kisah yang berlaku dalam hidupnya tidak terjadi kepada orang lain.

"Saya akan mengambil tindakan di atas apa yang berlaku termasuklah kecederaan yang dialami tempoh hari. Saya juga hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT kerana Dialah yang lebih mengetahui dan mengadili segala yang berlaku," katanya.

Terdahulu, Hafidz menulis surat terbuka kepada Nurul Shuhada yang dimuat naik di Instagram dengan mendakwa isterinya itu mencanang fitnah kepada dirinya dan keluarga sehingga mengaibkan mereka.

Dia juga memberikan tempoh 48 jam untuk Nurul Shuhada membuat permohonan maaf sebelum dia sendiri mengambil tindakan terhadap isu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 8:27 PM