MUHYIDDIN bercakap kepada wartawan di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM. FOTO Asyraf Hamzah
MUHYIDDIN bercakap kepada wartawan di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM. FOTO Asyraf Hamzah
Ilah Hafiz Aziz dan Suraya Ali


Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengakui pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melayannya secara berhemah dan tidak menekannya ketika memberi keterangan selama lebih lapan jam, hari ini.

Presiden Bersatu itu berkata, tempoh penahanannya berlangsung dengan agak lama disebabkan banyak perkara yang perlu diperiksa dan memakan masa.

"Mereka menguruskan perkara ini dengan agak berhemah, malah turut menghormati saya.

"Ia memakan masa kerana perlu melihat satu persatu rekod dan semakan dibuat sebelum dipersetujui.

"Tetapi, tiada tekanan yang diberikan pegawai penyiasat dan saya amat menghargai cara SPRM menyiasat dan menjalankan pemeriksaan," katanya.

SPRM mengesahkan Muhyiddin ditahan pada jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM juga mengesahkan badan itu sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Muhyiddin, 75, bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Razak berdepan pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 9:36 PM