TERTUDUH didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret. FOTO Aswadi Alias
TERTUDUH didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret. FOTO Aswadi Alias
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Padah memikat isteri orang, bekas pegawai tentera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan itu.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Zhafran Rahim Hamzah selepas tertuduh Azmi Ali, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu dan tertuduh membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat jenayah memikat wanita berusia 44 tahun yang sudah bersuami dan supaya wanita berkenaan melakukan persetubuhan dengannya di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, awal tahun 2016.

Kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azman Zakaria memohon denda minimum atas alasan anak guamnya adalah pesalah pertama, sudah mengaku bersalah dan menyesal dengan perbuatannya.

"Tertuduh sudah berkahwin dan ada dua anak serta tiada rekod jenayah. Tertuduh berkhidmat sebagai tentera selama 28 tahun, namun dinasihatkan berhenti menyebabkannya menganggur.

"Pada Januari tahun ini, tertuduh berjaya mendapat pekerjaan baharu sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan RM4,500 sebulan. Tertuduh juga perlu menjaga ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal yang mengendalikan kes meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran.

"Rentetan kes ini, institusi perkahwinan dan hubungan kekeluargaan pengadu terjejas, malah rumah pengadu dan isteri juga dijual serta perniagaannya gulung tikar sehingga pengadu terpaksa pulang ke kampung di Terengganu.

"Pengadu juga mengalami kemurungan dan menerima rawatan serta kaunseling di klinik kesihatan di Terengganu," katanya.

Harian Metro pada 28 September 2020 melaporkan pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan memikat isteri orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 12:19 PM