ALVIN tidak putus-putus perbaiki apa yang boleh ditingkatkan sebagai anak seni.
ALVIN tidak putus-putus perbaiki apa yang boleh ditingkatkan sebagai anak seni.
Georgie Joseph


LEBIH sedekad bertapak dalam industri hiburan, pelakon dan penyanyi, Alvin Chong kini mengintai peluang melebarkan sayap di luar negara.

Dia berazam akan bersungguh-sungguh dalam menggapai impian itu bermula tahun ini.

Alvin, 32, atau nama sebenarnya Alvin Chong Chean Wah berkata, dia sentiasa idamkan kerjaya seninya maju setiap tahun. Bukan tidak pernah, tapi percubaan sebelum ini masih bukan rezekinya.

Dia juga sudah siap siaga ikhtiarkan apa saja keperluan demi berjuang mencari ruang di luar. Enggan tetapkan pasaran mana ingin ditembusi secara spesifik, Alvin terbuka mencuba nasib di mana-mana.

"Saya pernah berlakon di China, tapi filem itu tak keluar. Tahun ini, saya akan cuba uji bakat di luar negara. Kalau ada rezeki, saya akan menyahut cabaran itu.

"Tak kisah mana-mana pun, di Singapura atau Taiwan. Pengurusan saya pun sudah menghubungi cawangan syarikat di luar. Mereka akan cuba tengok kalau ada peluang sesuai dan sama ada kena hantar video atau pergi ke sana.

"Yang pasti, kami usahakan sehabis baik untuk cuba kembangkan lagi karier saya," katanya.

Pengalaman Alvin bergelar pelakon pun sudah cukup luas. Profil diciptanya membanggakan apatah lagi setiap pembabitan seni terutama lakonan sentiasa meninggalkan impak tersendiri.

Namun, dia tetap berpegang teguh dengan prinsip tidak pentingkan diri. Setiap projek yang dijayakan wajib dahulukan semangat berpasukan jika inginkan hasil lumayan.

"Setiap tugasan saya beri 100 peratus. Saya akan tanya pengarah, bersembang dengan pelakon utama dan rakan pelakon lain. Kami berlatih dan saling membantu.

"Kalau pelakon itu 'kekwat', tak mengapa. Bagi saya, ia bukan usaha satu individu saja, sebaliknya semangat berpasukan.

"Kalau babak itu perlukan dia bersinar, saya sedia tolong. Kalau babak itu perlukan saya bersinar, kita boleh bincang dan lunaskan sebagai satu pasukan," katanya.

Alvin juga akui sangat mementingkan integriti diri terpuji dalam menjaga hubungan sesama rakan industri. Ada kalanya, dia tidak terlepas daripada provokasi mengenai isu 'panas' yang tercetus.

Apa pun, dia tidak melihat keperluan atau berasa diri berhak untuk bercakap bagi pihak orang lain jika diminta beri komen.

Menurutnya, dengar boleh, tapi percaya jangan.

"Kalau saya tak ada dalam keadaan itu, tak nampak dengan mata sendiri, saya takkan cakap. Memang ada pun dan saya kenal orang itu. Saya akan jawab saya tak ada di tempat kejadian.

"Kalau dengar orang cakap pun, belum tentu sahih. Jadi, saya tak nak sebarkan hal yang kita tak pasti. Sebab itu saya cuba kawal perkara itu," katanya.

Dalam rancak berlakon, Alvin juga enggan menyisihkan kerjaya muzik. Dia tidak menetapkan perancangan spesifik, namun kepuasan dalam seni paling dikejarnya sekarang.

"Tahun ini saya akan keluarkan banyak lagu Inggeris. Tawaran lakonan, saya akan cari jalan cerita menarik. Yang berlainan daripada apa saya pernah buat," katanya.

Walaupun banyak aspek masih perlu diperbaiki sebagai penyanyi, Alvin sedia cabar diri tingkatkan usaha. Baginya minat itu lebih mengatasi hakikat dirinya bukan penyanyi yang bagus.

"Tahun ini saya akan melancarkan banyak lagu ciptaan sendiri. Janggal rasanya apabila bercerita mengenai lagu yang bukan ditulis sendiri ketika mempromosikan sesuatu lagu.

"Saya juga sahut saranan pengurusan untuk menghadiri kelas vokal kali ini. Saya tahu saya bukan penyanyi yang cukup bagus, tapi sekurang-kurangnya pengurusan terus terang kerana ambil berat ingin saya maju," katanya.

Hindar persekitaran toksik

Meraikan Tahun Baharu Cina bulan lalu, Alvin berkata, azamnya cuma inginkan emosinya lebih gembira dan tenang sekarang. Dia enggan dirinya dibelenggu dengan perkara negatif.

Dia akui tidak terlepas daripada pengalaman bekerja dengan persekitaran dan golongan toksik. Jika boleh dia mahu hindarkan diri daripada hal begitu.

"Menyedihkan bila kita bekerja dengan persekitaran kurang sihat, ada hasad dengki dan cakap belakang. Bukan saja dalam pekerjaan, tapi dengan persekitaran orang terdekat kita sekalipun.

"Saya sudah tidak kisah kalau perlu 'buang' dan kecilkan kelompok kawan. Saya nak dekat dengan yang betul-betul menghargai nilai persahabatan dan boleh faham kita," katanya.

Alvin turut berkongsi hatinya tersentuh dengan luahan artis veteran yang disisihkan.

Menurutnya, ada yang pernah meluahkan kepadanya bahawa mereka berasa tidak dihormati.

"Sebak pula bila dengar rintihan mereka. Ada yang terkilan kerana tidak ditegur pun oleh artis baharu. Saya sendiri tak senang kalau tak tegur pelakon lebih tua di set penggambaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 6:00 AM