Alvin baru muncul dengan lagu Mencintaimu. FOTO Arkib NSTP.
Alvin baru muncul dengan lagu Mencintaimu. FOTO Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


“KALAU ada bukti saya mengamalkan hidup songsang atau mencintai kaum sejenis, sila tunjukkan,” kata pelakon Alvin Chong mengenai dakwaan dirinya gay.

Alvin, 26, berkata dia juga tidak ada masalah untuk berdepan dengan individu atau pihak yang menyebarkan cerita negatif mengenai dirinya.

Katanya, ini juga bukan pertama kali dia diajukan persoalan sebegini.

“Sudah banyak kali sehingga saya sudah lali dan naik malas melayan isu ini. Saya tak tahu apa masalah mereka. Jangan disebabkan belum ada kekasih, mereka melabel saya begitu.

“Kalau nak kata sebab saya berwajah jambu, ini bukan saya yang pilih. Saya tak boleh buat apa,” katanya kepada Harian Metro.

Apa pun kata Alvin, dakwaan dilemparkan itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk memberi yang terbaik buat peminat.

Malah Alvin menegaskan kepada 'haters' agar berhenti bercakap sesuatu yang tidak berfaedah.

“Kalau tak ada perkara bagus nak diperkatakan, lebih baik diam. Lagi pula sekarang dunia sudah terlalu banyak perkara buruk dan negatif. Jadi, saya cuba untuk jadikan dunia lebih baik.

“Fokus saya sekarang mahu buat yang terbaik untuk peminat. Bagi yang tak sokong saya, tidak mengapa. Harap suatu hari nanti meraka sukakan saya. Saya tak boleh puaskan hati semua orang,” katanya.

Pelakon drama Awak Sayang Saya Tak? ini baru muncul dengan single Mencintaimu yang menjadi lagu tema drama My Coffee Prince.

Dalam masa sama, Alvin baru selesai menjayakan penggambaran muzik video lagu duet bersama Janna Nick, Aku Kamu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 3:13 PM