Penyanyi Alvin Chong hadir pada Majlis Apreasiasi dan makan malam Tahun Baru Cina bersama Universal Music di Le Meridien. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Penyanyi Alvin Chong hadir pada Majlis Apreasiasi dan makan malam Tahun Baru Cina bersama Universal Music di Le Meridien. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Georgie Joseph


Petaling Jaya: Pelakon dan penyanyi Alvin Chong, 32, serik menghadiri uji bakat filem tempatan apabila dia ditolak dengan alasan wajahnya terlalu 'jambu' sebelum ini.

Alvin berkarta, situasi itu hanya membazir usahanya apabila dipanggil serta disenaraikan datang uji bakat kemudian ditolak tanpa penjelasan kukuh.

"Saya okay dan terima dengan hati terbuka sekiranya ditolak dengan syarat kena telus. Jelaskan apa kekurangan saya. Ia penting kerana saya nak tahu apa yang perlu diperbaiki.

"Beberapa tahun lalu, saya menghadiri uji bakat sebuah filem tapi akhir sekali kena 'reject' (ditolak) sebab wajah saya 'jambu' walaupun lakonan saya tiada masalah dan mereka juga akui ia cukup bagus.

"Terkilan juga kenapa dipanggil datang juga kalau memang rasa tak sesuai? Sekarang saya memang sangat jarang nak uji bakat melainkan watak yang saya betul-betul ingin cuba," katanya ketika ditemui di Malam Penghargaan dan Sambutan Tahun Baharu Cina Universal Music Malaysia, di sini.

Sementara itu, Alvin berazam mahu teruskan minat dalam muzik walaupun tahu dirinya bukan penyanyi yang bagus.

"Tahun ini saya akan melancarkan banyak lagu Inggeris ciptaan sendiri. Janggal rasanya apabila bercerita mengenai lagu yang bukan ditulis sendiri ketika mempromosikan sesuatu lagu.

"Saya juga sahut saranan pengurusan untuk menghadiri kelas vokal kali ini. Saya tahu saya bukan penyanyi yang cukup bagus tapi sekurang-kurangnya pengurusan terus-terang kerana ambil berat ingin saya maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 5:28 PM