ALVIN yakin populariti datang dan pergi.
ALVIN yakin populariti datang dan pergi.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Alvin Chong sekali lagi mencuri tumpuan dan wataknya sebagai Ean dalam drama bersiri Takdir Yang Tertulis meniti di bibir setiap penggemar drama tempatan.

Siapa sangka, drama bersiri yang tamat tayangannya malam tadi mencipta fenomena tersendiri dan menimbulkan pelbagai emosi daripada penonton yang rata-rata memberikan pendapat masing-masing di media sosial.

Alvin atau nama sebenarnya Alvin Chong Chean Wah berkongsi mengenai impak yang diterimanya daripada drama arahan Shahrulezad Mohamedin itu.

"Impak drama ini memang besar. Saya pun tak jangka ia akan mendapat sambutan sehebat ini. Yang pasti, kami sudah berikan yang terbaik.

"Apabila melihat sambutan yang diterima di luar jangkaan, sedikit sebanyak penat lelah serta dugaan yang kami lalui terbayar," katanya.

Menurutnya, proses penggambaran Takdir Yang Tertulis juga berdepan pelbagai ujian besar.

"Kalau anda nak tahu, proses penggambaran juga tak semudah yang disangka. Pada ketika itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

WATAK Ean dalam Takdir Yang Tertulis mencabar Alvin.
WATAK Ean dalam Takdir Yang Tertulis mencabar Alvin.

"Ada juga insiden di mana tuan rumah yang juga pemilik set untuk salah satu babak tak benarkan kami masuk dalam rumah. Pernah juga kami dihalau ketika penggambaran sedang berjalan kerana pemilik lokasi bimbang berikutan kes jangkitan baru Covid-19 makin meningkat.

"Saya bersyukur sebab semuanya berjalan lancar dan sambutan yang diterima sangat baik," katanya.

Namun dalam kejayaan itu, Alvin tidak menafikan bahawa dirinya masih ada kekurangan jika dibandingkan dengan pelakon lain.

"Pada awalnya, saya takut juga nak terima tawaran untuk berlakon drama ini memandangkan saya pun sudah setahun tak berlakon.

"Mujur abang Ejad (Shahrulezad) banyak membantu. Ini kerana Bahasa Melayu saya kurang cemerlang dan dia beri kelonggaran untuk saya tukarkan ke Bahasa Inggeris.

"Apabila saya tonton semula lakonan saya, ternyata banyak lagi kekurangan yang perlu saya perbaiki. Antara yang saya nampak ialah saya terlalu jelas seperti menghafal dialog," katanya.

Selain bahasa, skrip yang panjang dan tempoh singkat turut menduga keupayaannya sebagai pelakon.

"Skrip daripada Abang Ejad selalunya antara 12 hingga 16 muka surat. Kami akan menerima skrip pada hari penggambaran. Jadi, sampai saja di set, terus perlu menghafal skrip.

INGIN perbaiki Bahasa Melayu untuk lakonan.
INGIN perbaiki Bahasa Melayu untuk lakonan.

"Sedikit sebanyak, itu antara cabaran terbesar untuk saya membawa dan mengembangkan watak Ean ini," katanya.

Dalam drama itu, Ean dikenali dengan sikap degil dan pada masa sama ada menyimpan dendam.

Ketika ditanya mengenai persamaan antara dirinya dalam dunia nyata dengan watak Ean, Alvin tidak menolak bahawa ada persamaan antara mereka.

"Persamaan antara saya dengan Ean adalah degil. Saya orang yang akan cuba sedaya upaya melakukan apa saja untuk mendapatkan sesuatu yang saya mahukan.

"Tapi, andai kata saya berpeluang bertemu orang yang bersikap seperti Ean, saya nak nasihatkannya supaya jangan terlalu degil!," katanya berseloroh.

Berkongsi mengenai tempoh populariti yang datang dan pergi, Alvin juga meluahkan keraguannya sama ada peminat meminatinya kerana dirinya sebagai Alvin atau hanya ketika memegang sesuatu watak.

"Kalau bercakap mengenai populariti, saya boleh katakan saya pernah melalui zaman kegemilangan ketika drama saya ditayangkan suatu ketika dahulu.

"Tapi, selepas itu nama saya tenggelam dan pudar. Kini, apabila watak Ean mencuri perhatian, ramai yang datang kembali sebagai 'peminat setia'.

"Kadang-kadang timbul persoalan dalam hati saya sama ada mereka benar-benar meminati dan menyokong saya atau sekadar meminati watak yang saya lakonkan. Adakah orang akan sukakan kita kalau kita tunjukkan diri kita yang sebenar? Namun, itu hanya persoalan yang bermain dalam fikiran saya," katanya.

Apa yang pasti, Alvin sentiasa mengharapkan karier lakonannya mendapat sokongan padu daripada peminat pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 6:20 AM