PARTIVI  bersama Muhammad Aqiel  di kediaman keluarga di Taman Saujana, Kota Tinggi. FOTO: Mary Victoria Dass
PARTIVI bersama Muhammad Aqiel di kediaman keluarga di Taman Saujana, Kota Tinggi. FOTO: Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


KOTA TINGGI: Wajah keibuan tidak sedikit pun terlihat terbeban meskipun kudratnya ditagih dalam menguruskan anak syurga yang memiliki tujuh jenis penyakit berbeza. Tugas hakiki sebagai suri rumah tidak dilupakan, malah dalam kesibukan mengurus keluarga, Partivi Masiran, 48, masih mampu mencari pendapatan tambahan.

Tidak hairanlah kemampuannya membahagikan masa membuka pintu rezeki dengan menjual biskut raya sempena Ramadan.

Partivi berkata, kebiasaannya dia akan menghasilkan biskut selepas Muhammad Aqiel Asyraaf Zamri atau Aqiel berusia lapan tahun tidur pada waktu malam atau awal pagi.

Menurutnya, kebiasaannya dia akan bangun seawal jam 1 pagi untuk menyiapkan tempahan biskut raya.

“Kebiasaannya saya akan menyiapkan 10 botol kuih sehari termasuk almond London, bangkit cheese, tat nanas gulung, rempeyek kacang hijau, kacang dal dan kacang tanah serta kek coklat moist.

“Hasil jualan ini akan disimpan untuk keperluan harian dan pendidikan anak berusia antara lapan dan 23 tahun dengan seorang daripada mereka menuntut di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Batu Pahat.

“Malah, saya juga menggunakan wang ini untuk keperluan Aqiel termasuk membeli lampin pakai buang, picagari, tiub dan susu khas,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Saujana.

Partivi yang juga Pengasas Kelab Permata Syurga Johor Darul Takzim (KPSJDT) berkata, dia bersyukur kerana menerima sokongan suami, Zamri Daud, 51, yang membantu mengurus Aqiel pada waktu pagi hingga petang bekerja syif malam.

Menurutnya, Aqiel dikenal pasti memiliki tujuh jenis penyakit iaitu hiperaktif, Palsi Serebrum, paru-paru kronik, Supraglottic Stenosis, Post VSD Closure, Refluks Gastroesofagus (GERD) dan masalah tumbesaran.

“Alhamdullilah dia (Aqiel) yang sebelum ini dikatakan tidak panjang umur sudah mencecah usia lapan tahun,” katanya.

“Saya percaya ajal dan maut ketentuan Tuhan namun sebagai ibu, kita perlu tabah dan terus kuat menghadapi ujian diberikan.

“Saya tidak putus asa dalam soal Aqiel untuk menaik taraf kehidupan keluarga dan semua ini berkat saya hadir ke kelas dan kursus membuat biskut raya,” katanya.

Partivi berkata, anaknya itu terlantar ketika berusia dua tahun dan disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Namun hasil teknik urutan fisioterapi dipelajari daripada pakar dan bidan, saya dapat melakukannya sendiri di rumah,” katanya.

Menurutnya, pada usia empat tahun, Aqiel mula menunjukkan perubahan positif termasuk boleh duduk dan boleh merangkak dan berjalan setahun kemudian walaupun kadang-kala sukar mengimbangi tubuh.

“Setiap hari saya mengurut di belakang lutut, tapak kaki dan betis dengan harapan dia mampu berjalan secara normal.

PARTIVI menunjukkan antara biskut yang disiapkan.
PARTIVI menunjukkan antara biskut yang disiapkan.

“Walaupun sibuk sepanjang Ramadan, saya akan curi masa menghasilkan biskut raya demi meringankan beban keluarga selain menjana pendapatan tambahan.

“Antara pelanggan saya termasuk jururawat dikenali ketika Aqiel dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), ahli kelab kami dan pelanggan dari Johor Bahru,” katanya.

Bagi mereka berminat membuat tempahan biskut raya, boleh menghubungi Partivi di talian 013-754 3723.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:15 AM