Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Kehilangan misteri kapal kargo Malaysia MV Dai Cat 06 sejak 11 hari lalu, membawa kepada empat 'teori' kemungkinan punca kapal besar sepanjang 52 meter itu 'ghaib' berhampiran perairan Pemangkat, Kalimantan Barat, Indonesia.

Sumber berkata, kehilangan kapal membawa muatan besi serta lima kru membabitkan tiga warga Malaysia dan dua warga Indonesia pada 1 Januari lalu terus menjadi tanda tanya ramai pihak.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dikumpulkan, terdapat empat kemungkinan 'situasi' menimpa kapal dagang berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuching, Sarawak.

"Pertama, ada kemungkinan kapal kargo itu diserang sekumpulan lanun di perairan berkenaan sebelum ia disembunyikan di lokasi tersorok sekitar kepulauan kecil di Bangka Belitung, Pulau Karimata dan sekitarnya.

"Wujud juga kemungkinan pihak yang melarikan kapal kargo itu mahu menjadikan anak kapal sebagai tawanan untuk mendapatkan wang tebusan atau sebagainya.

"Teori kedua pula membabitkan kemungkinan kapal kargo itu berdepan masalah teknikal atau cuaca buruk di lautan yang menyebabkan ia karam sekali gus menyukarkan ditemui.

"Manakala teori ketiga itu adalah kebarangkalian kapal berkenaan mengalami kerosakan enjin yang gagal dibaiki. Akibatnya kapal kargo itu hanyut di lautan.

"Teori ke empat membabitkan kemungkinan wujud tindakan luar jangkaan iaitu kapal kargo berkenaan dilarikan anak kapal. Ia mungkin berpunca beberapa faktor yang masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kehilangan kapal kargo itu selain kelewatan ia dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Agak aneh apabila kes ini hanya dimaklumkan kepada APMM selepas 10 hari. Bagaimanapun APMM terus menjalin kerjasama dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) bagi memastikan kapal kargo itu ditemui.

"Siasatan turut tertumpu kepada satu isyarat kecemasan dikesan Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) dan Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan (POCC) Singapura dipercayai daripada kapal kargo itu di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia pada hari kejadian.

"Ketika ini agensi keselamatan maritim Indonesia (Bakamla) serta tentera laut Indonesia masih melakukan usaha pencarian di perairan Indonesia sejak Isnin lalu," katanya.

Menurutnya, berdasar maklumat dikumpul, tiada tanda berlaku kemalangan kapal atau serpihan ditemui di lokasi terakhir kapal berkenaan hilang.

Difahamkan, amaran lanun sudah dikeluarkan menerusi IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal membawa muatan 527 batang besi bernilai RM726,205.

Kapal kargo yang dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak, pada 31 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 12:00 PM