Muhammad Amir Mohd Yusoff maut akibat dirempuh sebuah kereta lumba di Litar Dato'Sagor, petang semalam. FOTO IHSAN FB MUHAMMAD AMIR.
Muhammad Amir Mohd Yusoff maut akibat dirempuh sebuah kereta lumba di Litar Dato'Sagor, petang semalam. FOTO IHSAN FB MUHAMMAD AMIR.
Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: "Arwah nak sangat buat kenduri kesyukuran minggu depan, tapi saya tak sangka kenduri nanti adalah untuk dirinya," luah Nor Idayu Yunus, isteri kepada mangsa kemalangan di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 3.30 itu, mangsa, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dirempuh sebuah kereta lumba yang hilang kawalan sewaktu mangsa menyaksikan acara perlumbaan CCT Battle of Champion.

Mangsa disahkan maut semasa menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, dekat Hutan Melintang, jam 5 petang, akibat parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.

Menurut Nor Idayu, 29, suaminya mahu melakukan kenduri kesyukuran pada 7 Januari ini sempena kesihatan ibu mentua, Ubaidah Jusoh, 60-an yang semakin pulih selepas menjalani pembedahan dan perniagaan bengkel suaminya yang sangat baik.

"Segala persiapan kenduri sudah siap, semua ahli keluarga pun sudah diberitahu.

"Tapi saya tak sangka kenduri kesyukuran nanti akan bertukar menjadi kenduri untuknya," katanya sebak ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, dekat Hutan Melintang, malam tadi.

Bercerita lanjut, ketika kejadian, Nor Idayu bersama dua orang anaknya Damia Intishar, 6, dan Damia Inara, 10 bulan, berada di rumah mereka di Assam Kumbang, Taiping.

Anak keduanya, Yusuf Mikhail, 3, bersama suami ke Litar Dato' Sagor untuk berjumpa rakan dari Kuala Lumpur.

"Tengah hari tadi (semalam), suami beritahu mahu ke Kampung Gajah untuk ambil alat ganti kereta daripada rakannya yang datang dari Kuala Lumpur.

"Suami saya seorang pengusaha bengkel kereta. Memang rutin suami untuk pergi ke KL (Kuala Lumpur) untuk ambil alat ganti. Jadi apabila rakannya datang ke Kampung Gajah, tidak jauh la dia mahu ambil untuk kali ini.

"Kami tahu ada perlumbaan dan suami ada cakap yang dia ingin saksikan perlumbaan itu," katanya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Taiping.

Menurutnya, berita mengenai kemalangan itu diberitahu oleh seorang rakan kerja suaminya melalui panggilan telefon, 4 petang semalam.

"Ketika saya dan anak-anak sampai ke sini (Hospital Changkat Melintang), doktor sahkan dia dah 'tiada'.

"Sepatutnya malam ini (malam tadi), kami sekeluarga keluar berjalan-jalan untuk sambut tahun baharu. Kebetulan saya pun cuti dan dia pun boleh habiskan kerjanya awal.

"Saya tak pasti anak-anak faham atau tidak, mungkin yang sulung faham sedikit, tapi (mungkin tidak bagi anak) yang (berusia) tiga tahun dan 10 bulan. Anak dalam kandungan saya sekarang baru tiga bulan, langsung tak sempat jumpa ayahnya," katanya yang memaklumkan bahawa dia dan suami baru sahaja tahu mengenai kehamilannya itu, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 9:11 AM