Abnor Hamizam. Abd Manap


Tampin: Tulang dan rangka dipercayai milik wanita warga emas yang dilaporkan hilang pada 7 Disember lalu, ditemukan di ladang sawit Felda Sungai Kelamah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pengecaman yang dibuat oleh anak si mati berdasarkan pakaian, rangka itu dipercayai adalah Aliah Omar, 74.

"Tulang dan rangka berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Media pada Isnin lalu melaporkan penantian keluarga yang tidak putus-putus berdoa selain mengharapkan keajaiban supaya ibu mereka yang hilang ditemukan segera.

Kehilangan warga emas yang dikenali sebagai Mak Cik Senah itu disedari anak bongsunya Che Roshidee Che Harun, 32, kira-kira jam 3 petang, pada 6 Disember lalu.

Ia selepas sarapan pagi dibawa ke rumah ibunya itu tidak terusik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 8:05 AM