Jalan di kawasan  Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah.
Jalan di kawasan Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah.
Oleh Ahmad Hasbi


Tampin: Jiran keluarga kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai akibat terlanggar sebuah lori sampah dekat Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini, memberitahu mangsa sempat bermain dengan anaknya sebelum kejadian terbabit berlaku.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, mangsa, Aminah Mohd Hafis, 7, dikatakan keluar dari rumahnya sebelum terlanggar lori berkenaan yang melakukan rutin mengutip sampah di lokasi itu.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Lynie, 38, berkata, dia tidak menyangka mangsa terbabit dalam kemalangan terbabit.

"Pada pagi sebelum kejadian, arwah sempat bermain basikal dengan anak saya. Selepas itu suami membawa anak keluar dan ketika kejadian, anak tidak bersama arwah.

"Tidak lama kemudian saya dapat berita mengenai kejadian ini. Takziah kepada keluarganya, semoga syurga tempat arwah," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut kerana kecederaan teruk di kepala.

"Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tampin dan keputusannya menunjukkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kami sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori sampah berkenaan. Kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau hubungi talian 06-4412502 atau Bilik Gerakan IPD Tampin 06-4431999 bagi membantu siasatan," katanya.

Anuwal berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, pemandu lori sedang menjalankan tugas mengutip sampah di taman perumahan berkenaan.

"Kemalangan berlaku ketika pemandu lori sedang masuk ke selekoh untuk mengutip sampah dan secara tiba-tiba, sebuah basikal yang ditunggang kanak-kanak itu dari arah rumahnya keluar dan terus berlanggar dengan tayar kanan belakang lori.

"Pemandu lori turun untuk memeriksa dan mendapati penunggang basikal berada di bawah tayar belakang kenderaannya.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 11:47 AM