LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Hasbi


Tampin: Polis mengesahkan rangka yang ditemui di ladang kelapa sawit dekat Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini, bulan lalu adalah milik Muhammad Syafiq Salehin yang dilaporkan hilang pada Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, ia hasil laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas rangka yang ditemui.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan rangka manusia bersama sebuah motosikal dekat sebuah ladang kelapa sawit Felda Sungai Kelemah, jam 2.50 petang 29 April lalu.

"Turut ditemui tali pinggang dan topi keledar. Rangka dihantar ke Bilik Mayat Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan ujian DNA," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, laporan DNA mengesahkan rangka itu adalah milik Muhammad Syafiq Salehin yang dilaporkan hilang pada 25 Mac lalu.

Katanya, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Pada 29 April lalu, media melaporkan, rangka manusia daripada pinggul hingga kaki ditemui di dalam parit kering dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 warna biru.

Terdahulu pada Mac, polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai orang hilang selama lima hari.

Amiruddien dilaporkan berkata, Muhamad Syafiq yang menetapkan di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan, di sini, disedari hilang oleh isterinya sebelum membuat laporan kehilangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 4:21 PM