DADAH yang dirampas daripada seorang lelaki. FOTO Ihsan polis.
DADAH yang dirampas daripada seorang lelaki. FOTO Ihsan polis.
Ahmad Hasbi


Gemas: Meskipun pernah ditahan polis sebanyak 16 kali dengan 14 daripada kesalahan membabitkan dadah, seorang lelaki tidak serik apabila sekali lagi ditahan selepas disyaki memiliki dadah seberat 35 gram di Jalan Gemas-Tampin, di sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 56 tahun yang ditahan pada 3.30 petang itu bukan sahaja disyaki menjadi pengedar dadah kecil-kecilan di daerah berkenaan, juga turut didapati positif dadah jenis morfin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin menahan lelaki berkenaan di hadapan pondok bas Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Jalan Gemas-Tampin.

"Lelaki itu ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin dan syabu yang disimpan di dalam beg silang dipakai suspek.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui lapan paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 32 gram dan lima paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 3 gram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin sebelum ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis morfin.

"Malah, semakan terhadap rekod jenayahnya, kami mendapati lelaki ini mempunyai 16 rekod dan 14 daripadanya membabitkan kesalahan dadah," katanya.

Anuwal berkata, suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan adalah untuk dijual kepada penduduk di sekitar Gemas dan punca bekalan masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 11:29 AM