Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ditemui pemberita ketika Karnival HIP peringkat Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ditemui pemberita ketika Karnival HIP peringkat Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 27 Mei ini.

Menterinya Fadhlina Sidek, berkata pemilihan tarikh itu tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, sebaliknya ia adalah bagi memastikan pelajar lepasan SPM mempunyai masa mencukupi membuat persiapan permohonan kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT).

"Dalam hal ini (tarikh pengumuman keputusan SPM) kita mendengar semua pandangan apatah lagi yang berkait rapat dengan kesejahteraan guru.

"Saya tekankan kita akan kekal (tarikh keputusan) itu pada 27 Mei ini sebagaimana yang kita umumkan.

"Jadi, guru-guru yang merancang percutian teruskan bercuti kerana ia tidak ada masalah, apatah lagi keputusan ini boleh diperoleh secara dalam talian. Bagi anak-anak yang memerlukan (jauh dari sekolah mereka) boleh mendapatkan dalam talian atau boleh pergi ke mana-mana sekolah terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang meminta KPM mengeluarkan keputusan SPM Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika merasmikan Karnival HIP peringkat Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sesi libat urus akan diadakan dengan segera untuk memastikan tiada isu berbangkit ketika pengumuman keputusan SPM nanti.

"Apa yang kita lakukan ini adalah paling penting anak-anak kita (calon lepasan SPM) ada masa yang cukup untuk buat persiapan (kemasukan ke IPT) khususnya di peringkat (membuat permohonan dalam talian) UPU (Unit Pusat Universiti).

"Jika pihak pentadbir kena uruskan (berkaitan pengumuman keputusan SPM) masih ada masa selama tiga minggu,

"Tempoh masa ini panjang dan mencukupi bagi (pihak pengurusan sekolah) merancang dan menyelaras mekanisme pengurusan serta pentadbiran tugas berkaitan pengeluaran keputusan peperiksaan," katanya.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu KPM mengeluarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 5:44 PM