Pemain Perancis menjalani latihan di Doha. FOTO File Reuters
Pemain Perancis menjalani latihan di Doha. FOTO File Reuters
Reuters

Doha: Beberapa pemain Perancis dilaporkan mengalami masalah demam kata Persekutuan Bola Sepak Perancis ketika mereka melakukan bersedia bagi perlawanan final Piala Dunia berdepan Argentina pada Ahad.

Tonggak pertahanan Raphael Varane dan Ibrahima Konate menjadi pemain terbaharu mengalaminya hari ini.

Pertahanan tengah, Dayot Upamecano dan pemain tengah, Adrien Rabiot terlepas aksi separuh akhir Rabu lalu ketika menang 2-0 mengatasi Maghribi kerana sakit namun jurulatih, Didier Deschamps tidak mudah panik.

"Kami tidak bimbang dengan sakit. Sejak beberapa hari lalu suhu di Qatar jatuh sedikit, kami memasang penghawa dingin dan kami mengalami simptom seperti selesema dan kami berhati-hati supaya ia tidak berjangkit.

"Pemain beraksi baik di padang dan menderita selepas perlawanan, badan semakin lemah dan lebih terdedah kepada jangkitan virus. Kami mengambil langkah berjaga-jaga sepatutnya," katanya.

Penyerang, Randal Kolo Muani, yang masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kedua Perancis ketika menentang Maghribi, berkata: "Ada sedikit selesema yang tersebar tetapi tiada apa yang serius. Mereka akan sembuh tidak lama lagi dan bersedia untuk Ahad."

Seorang pegawai akhbar Perancis menambah: "Seperti yang anda tahu, Randal bukanlah doktor, kita akan memberitahu perkara selanjutnya selepas ini."

Deschamps yakin Upamecano dan Rabiot akan cergas bagi pertembungan Ahad ini di Stadium Lusail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:15 PM