Pemain Maghribi, Sofyan Amrabat kecewa selepas Perancis menjaringkan gol kedua pada aksi Separuh Akhir. FOTO Reuters
Pemain Maghribi, Sofyan Amrabat kecewa selepas Perancis menjaringkan gol kedua pada aksi Separuh Akhir. FOTO Reuters
Agensi

Doha: Sofyan Amrabat mendedahkan dia terpaksa merayu kepada Olivier Giroud untuk berhenti mengawalnya pada separuh akhir, di mana Perancis menewaskan Maghribi untuk menamatkan impian Piala Dunia buat pasukan Afrika itu di Qatar.

Amrabat juga pemain tengah Fiorentina berkata dia meminta penyerang AC Milan untuk 'Berhenti!' mengawalnya di dalam padang.

Pemain Maghribi itu mendakwa skuad Perancis mengawal ketat pergerakan setiap pemain Atlas Lions pada aksi yang dimenangi skuad Les Bleus 2-0.

Selepas menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal untuk menjadi negara Afrika pertama mara ke separuh akhir, impian pasukan Maghribi menerus kemaraan ke final berakhir kepada Perancis.

"Mereka meninggalkan pertahanan tengah kami sendirian," pemain tengah - yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool - berkata pada NOS selepas perlawanan itu.

"Penyerang mereka, Olivier Giroud, mengawal ketat pergerakan saya di bahagian tengah!

"Malangnya, ia agak sukar buat kami selepas melepaskan jaringan awal dan kami terpaksa menyerah nasib kami kepada mereka, terutama dengan kelajuan yang mereka ada pada bahagian serangan. Jika anda mendahului 1-0 agak mudah untuk bermain bola sepak."

Maghribi menguasai perlawanan sekalipun keputusan tidak memihak kepada mereka, dengan 61 peratus kawalan bola dan 575 hantaran, tetapi juara dunia itu membuktikan mereka lebih baik daripada skuad Atlas Lions.

Jaringan Theo Hernandez selepas lima minit menyaksikan skuad Les Bleus bermain keseluruhan perlawanan tanpa perlu memberi tekanan di bahagian depan.

Dan ketika skuad kendalian Walid Regragui semakin menampakkan hasil untuk menjaringkan gol, Randal Kolo Muani akhirnya membunuh semangat lawan menerusi jaringan pada minit ke-79.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 8:52 PM