Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan hari mengundi Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu yang akan menjelang esok di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batang Kali. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan hari mengundi Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu yang akan menjelang esok di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batang Kali. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

Hulu Selangor: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian, bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian yang berlangsung esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi perlu menunjukannya kepada kerani pengundian pertama (KP1), di tempat mengundi masing-masing.

Beliau berkata sebelum itu pengundi boleh membuat semakan awal maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, menghubungi talian SPR di 03-88927218 atau melalui aplikasi MySPRSemak.

"Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, Ikmalrudin berkata penggunaan telefon bimbit di saluran tidak dibenarkan dan pengundi, calon serta petugas yang ingin memasuki pusat mengundi, dilarang memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang bahanyang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon yang bertanding.

"Kegagalan pengundi mematuhi peraturan ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan selepas tempoh itu berakhir, semua pihak perlu menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

Ini termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, Tik-Tok dan lain-lain.

"Semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi, kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sebanyak 18 pusat mengundi mengandungi 74 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian, membabitkan seramai 39,269 orang pengundi dan SPR menugaskan seramai 760 orang petugas pada PRK berkenaan.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 5:27 PM