GRIEZMANN (kiri) meraikan kejayaan Perancis mara ke final selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
GRIEZMANN (kiri) meraikan kejayaan Perancis mara ke final selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Al Khor: Antoine Griezmann berkata Perancis kekal merendah diri selepas juara bertahan Piala Dunia itu menewaskan Maghribi 2-0, hari ini untuk bertemu Argentina pada aksi final.

Penyerang Atletico Madrid itu memainkan watak penting untuk Perancis pada Piala Dunia kali ini yang menyaksikan Les Bleus cuba untuk menjadi pasukan pertama dalam tempoh 60 tahun dapat mengekalkan gelaran juara dunia.

"Empat tahun lalu selepas kemenangan 1-0 di separuh akhir ke atas Belgium, saya menangis, tetapi sekarang saya lebih fokus untuk perlawanan Ahad ini.

"Kami tetap berpijak di bumi nyata. Kami memberi tumpuan untuk kembali cergas dan bersedia untuk perlawanan final," katanya.

Gol awal dari bek kiri Theo Hernandez dan jaringan kedua lewat permainan menerusi Randal Kolo Muani memastikan Perancis ke final Piala Dunia keempat dalam tujuh edisi terakhir kejohanan berprestij itu.

"Saya kagum dengan pemain Maghribi. Mereka beraksi dengan baik dari sudut taktikal, bertahan dan menyerang. Selepas separuh masa pertama, mereka mencipta banyak peluang yang memberikan masalah kepada kami.

"Gol awal yang kami perolehi menjadikan perlawanan ini lebih mudah. Gol kedua membolehkan kami berasa lebih selesa. Perlawanan ini sangat sukar," kata Griezmann.

Perancis akan bertemu Argentina diketuai Lionel Messi pada aksi final, Ahad ini di Stadium Lusail.

"Mana-mana pasukan yang mempunyai Messi pastinya berbeza. Bekas rakan sepasukan dan pemenang tujuh gelaran Ballon d'Or ketika di Barcelona.

"Kami tahu corak permainan Argentina. Mereka pasukan yang sukar dan sedang berada pada presatsi terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 7:31 AM