THEO Hernandez meraikan jaringannya. FOTO AFP
THEO Hernandez meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Al Khor: Jaringan Theo Hernandez menentang Maghribi pada aksi separuh akhir, hari ini membolehkan Perancis mara ke final Piala Dunia untuk kali kedua berturut-turut.

Tetapi ceritanya mungkin berbeza jika abangnya tidak mengalami kecederaan di awal kejohanan ini.

Lucas Hernandez mengalami kecederaan koyak ligamen anterior cruciate ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Australia pada aksi pembukaan sekali gus menyaksikan pertahanan Bayern Munich itu diketepikan selama beberapa bulan.

Kecederaan itu berlaku beberapa hari selepas Les Bleus kehilangan pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema kerana kecederaan paha dan jurulatih Perancis, Didier Deschamps sudah kehilangan pemain tengah yang juga pilihan utama, Paul Pogba serta N'Golo Kante.

Ia menyebabkan Deschamps terpaksa melupakan hasratnya untuk bermain formasi tiga pertahanan dan kembali kepada 4-3-3 di Piala Dunia Qatar.

Lucas membarisi kesebelasan utama pada setiap perlawanan di Piala Dunia 2018 yang menobatkan Perancis sebagai juara.

Membarisi kesebelasan terbaik Serie A untuk tiga musim berturut-turut, Theo membantu AC Milan menamatkan kemarau kejuaraan 11 tahun gelaran liga Itali musim lalu

Jaringannya pada minit kelima bertemu Maghribi meletakkan Perancis di kedudukan selesa pada aksi separuh akhir di Stadium Al Bayt.

"Saya bersendirian. Saya lihat Kylian (Mbappe) mahu melakukan rembatan, bola melantun keluar dan saya terus merembatnya," kata Theo.

Pemain gantian Randal Kolo Muani melebarkan jaringan pada minit ke-79, sekali gus menutup peluang kebangkitan Maghribi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 9:01 AM