REZEKI dan tawaran yang diterima Aisha kian mencurah.
REZEKI dan tawaran yang diterima Aisha kian mencurah.
Affan Rostam

BAGAI cendawan tumbuh, itulah gambaran sesuai ditujukan buat penyanyi Aisha Retno apabila rezeki dan tawaran yang diterima ketika ini tidak pernah jemu menjemputnya selepas pembabitan dalam Big Stage 2022.

Aisha, 22, atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sifulnijam menyifatkan pentas Big Stage sebagai pembuka laluan untuk dia terus bernafas dan menapak dalam industri seni.

"Saya sangat berterima kasih dekat Big Stage sebab saya boleh meluaskan lagi pengetahuan dalam pelbagai genre muzik.

"Saya dah cuba eksperimentasi dalam banyak genre sepanjang bergelar pelajar Big Stage. Alhamdulillah Big Stage juga banyak buka peluang untuk saya mencuba kerja dengan pelbagai orang dalam industri ini," katanya.

Jelas Aisha, dia juga sudah mula perlahan-perlahan mendaki dalam bidang lain seperti lakonan dan pengacaraan selain turut aktif menulis lirik lagu.

"Selepas itu, saya juga ada ceburi sikit-sikit bidang lakonan dan pengacaraan. Alhamdulillah diberi juga kurniaan daripada Allah untuk menulis lagu, jadi saya ambil itu sebagai kelebihan.

"Dalam saat-saat buntu saya cuba hasilkan karya-karya baharu hasil nukilan sendiri yang mungkin berguna untuk membuat sebarang kolaborasi dengan penyanyi lain di masa hadapan" katanya.

Lumrah sebagai seorang penyanyi pastinya mahukan lagu yang didendangkan mendapat pengiktirafan dan juga anugerah terutama dalam anugerah paling berprestij.

Begitu juga dengan Aisha yang sememangnya memasang impian agar karyanya mendapat peluang untuk melonjak dalam senarai lagu yang terpilih pada Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Mimpi untuk menjejakkan kaki ke Anugerah Juara Lagu itu sudah pastinya ada dan untuk masuk (AJL) itu adalah mimpi besar saya.

"Jika sebelum ini untuk masuk Big Stage itu adalah sasaran saya jadi seterusnya saya mahu ke AJL pula," katanya.

Pelatun lagu Pencarianku itu juga mahu terus menyelami bidang nyanyian dan muzik sebaik mungkin biarpun dia bukanlah bermula dengan bidang itu sejak awal.

"Walaupun saya ambil ekonomi tapi tak akan mengabaikan atau memperlahankan pelajaran dalam bidang muzik. Saya tiada latar belakang dalam muzik seperti orang lain, ada orang yang memang ambil bidang itu dan mendalaminya.

"Boleh kata saya ini setakat tahu saja dalam muzik, tapi saya akan terus mendalami muzik ini bagi mengekalkan nama dalam industri," katanya.

Aisha yang kini masih lagi bergelar penuntut di Universiti Malaya (UM) tetap menyeimbangkan komitmennya dalam karier seni dan juga pelajaran.

"Pada saya penyusunan jadual itu kena betul. Mungkin selepas Big Stage nama saya masih lagi hangat jadinya tips saya adalah sentiasa ikut perjalanan yang sedang dilalui ketika ini.

"Satu lagi, jangan terlalu streskan diri dan banyak sangat fikir berkenaan perkara itu. Kalau santai saja insya-Allah semuanya akan berjalan lancar," katanya.

Sebelum ini Aisha berjaya menempa nama menerusi rancangan realiti nyanyian Big Stage 2022 dengan menduduki tempat ketiga. Selain itu, dia juga mengeluarkan beberapa single 'hit' antaranya W.H.U.T (Wanna Hold U Tight) dan Pencarianku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 6:30 AM