UNIT Pengadil FAM sudah membuat analisa prestasi pengadil bagi 15 perlawanan yang menggunakan teknologi VAR. FOTO MOHD ADAM ARININ
UNIT Pengadil FAM sudah membuat analisa prestasi pengadil bagi 15 perlawanan yang menggunakan teknologi VAR. FOTO MOHD ADAM ARININ
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nyata berpuas hati dengan prestasi pengadil khususnya terhadap kepatuhan protokol sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Undang-undang Permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) 2024/2025 sepanjang tiga minggu awal saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 10 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram berkata, pelaksanaan VAR pada aksi awal Liga Super berjalan lancar di mana pengadil yang ditugaskan mengikut protokol yang ditetapkan oleh Fifa.

"Unit Pengadil FAM sudah membuat analisa prestasi pengadil bagi 15 perlawanan yang menggunakan teknologi VAR di Liga Super bermula dari hari perlawanan 1 hingga hari perlawanan 3.

"Sebanyak 11 'On Field Review' (OFR) dilakukan dengan purata OFR 0.73 satu perlawanan. Angka ini menunjukkan keberadaan semasa pemahaman protokol VAR yang dimiliki oleh pengadil-pengadil di Liga M.

"OFR yang melebihi purata tiga dalam satu perlawanan akan memberi gambaran yang buruk kepada prestasi pengadil.

"Ini adalah penanda aras yang sedang digunakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Fifa bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi VAR. Purata tambahan masa bagi setiap perlawanan pula adalah sebanyak 9.94 minit," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh mengingatkan pengadil tempatan yang sudah meraih lesen VAR perlu sentiasa kekal konsisten dengan tidak melanggar mana-mana protokol VAR kerana ia sentiasa dipantau Fifa.

Platform IAAP atau dikenali 'Implementation Assistance and Approval Programme' diwujudkan oleh Fifa bagi dijadikan rujukan selain medan memantau prestasi setiap pengadil yang diberikan lesen VAR.

Jelas Subkhiddin, Fifa amat menitik beratkan soal garis panduan protokol dan badan induk bola sepak antarabangsa itu boleh menarik semula kebenaran menggunakan VAR jika terdapat bukti pelanggaran protokol sistem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 2:45 PM