PEMAIN KL City,Zhafri Yahya (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Al Seeb pada final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN KL City,Zhafri Yahya (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Al Seeb pada final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) kempunan untuk menjulang Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 apabila tewas 0-3 kepada kelab dari Oman, Al Seeb pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

Jelas sekali, barisan pemain Al Seeb yang rata-rata dibarisi pemain kebangsaan Oman sukar dicabar anak buah Bojan Hodak, sekali gus terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Piala AFC 2022.

Walaupun mendapat sokongan hampir 30,000 penyokong, KL City yang dilihat melancarkan serangan sebaik perlawanan bermula gagal manfaat beberapa peluang terhidang.

Skuad The City Boys berpeluang untuk berada di depan seawal minit ke-19, namun sepakan pemain sayap kanan Zhafri Yahya berjaya ditepis penjaga gol pelawat, Ahmed Faraj Al Rawa, sekali gus melegakan kem Al Seeb.

Malah, hujan renyai dengan keadaan padang basah dilihat pada awalnya memberi kelebihan kepada KL City, namun sebaliknya berlaku apabila mereka ketinggalan pada minit ke-23 selepas Ali Sulaiman Al Busaidi meletakkan Al Seeb di depan menerusi sepakan penjuru yang terus menerjah gawang lawan untuk kedudukan 1-0.

Tonggak Al Seeb, Ajibola Daniel Owolabi hampir menambah gol kedua Al Seeb pada minit 33 namun sepakan dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.

Ketangkasan Abdul Aziz Humaid Al Maqbali sukar disekat barisan pertahanan KL City apabila dia menyumbat gol kedua pelawat pada minit ke-36 untuk kedudukan 2-0 sehingga separuh masa kedua tamat.

Babak kedua bersambung menyaksikan perlawanan lebih seimbang apabila kedua-dua pasukan melancarkan serangan bagi mencari gol untuk pasukan masing-masing.

Namun, Al Seeb yang kerap melakukan serangan 'kilat' berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-70 menerusi Muhsen Saleh Al Ghassani.

Hodak yang melihat jentera serangan semakin 'lemau' melakukan empat tukaran pemain untuk menghidupkan peluang memburu gol.

Keputusan terbabit ternyata tidak banyak membantu KL City apabila kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Al Seeb menjulang Piala AFC 2022.

Selaku naib juara Piala AFC 2022, KL City membawa pulang RM3.5 juta manakala Al Seeb pula menerima RM7 juta.

Keputusan terbabit menyaksikan kemungkinan KL City terlepas peluang untuk mengikuti jejak langkah Johor Darul Ta'zim (JDT) beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 9:06 PM