PEMAIN KL City, Jordan  Mintah diasak tiga pemain PJ City. FOTO Bernama
PEMAIN KL City, Jordan Mintah diasak tiga pemain PJ City. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kuala Lumpur City FC (KL City) menerima tamparan hebat menjelang aksi final Piala AFC menentang kelab dari Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu depan.

Ia susulan kekalahan tipis 0-1 di tangan Petaling Jaya City FC (PJ City) dalam aksi terakhir Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini malam tadi.

Sebaliknya ia cukup manis buat skuad The Phoenix apabila berjaya meraih tiga mata penuh pada kempen terakhir liga musim ini sekaligus mengumpul 26 mata selepas mengharungi 22 aksi untuk berada di tangga kesembilan liga, sementara KL City pula di kedudukan keenam dengan 29 mata.

Dalam aksi itu, pelawat meraih peluang pertama hasil percubaan Romel Morales yang bijak merampas bola dari pertahanan tuan rumah namun rembatannya sedikit tinggi di minit ke-13.

Selang tiga minit kemudian giliran anak buah P Maniam pula menguji gawang skuad The City Boys tetapi rembatan K Kannan tepat ke dakapan Kevin Mendoza.

Skuad kendalian Bojan Hodak sepatutnya boleh memimpin aksi di minit 23 namun tindakan lambat Jordan Mintah berjaya dihalang pertahanan PJ City, sebelum tindakan susulan Zhafri Yahya juga tidak menembusi gawang tuan rumah.

Gol yang dinanti akhirnya menjelma pada minit 41 apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok berjaya menanduk cantik sepakan sudut Mahali Jasuli untuk meletakkan PJ City 1-0 di depan.

Memasuki babak kedua, Hodak melakukan pertukaran dengan memasukkan arkitek tengah berpengaruh, Paulo Josue dengan membawa keluar J Partiban bagi menambah kekuatan di bahagian tengah.

Kemasukan Josue nyata merancakkan siri serangan KL City dengan percubaan demi percubaan dilancarkan. Begitupun gol penyamaan yang dicari tidak kesampaian sehinggalah wisel ditiupkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 11:24 PM