MORALES ceria ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
MORALES ceria ketika sesi latihan bersama rakan sepasukan, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dicop 'pembunuh gergasi' dalam kempen Piala AFC musim ini sedia menghampakan satu lagi pasukan pilihan apabila berentap dengan kelab Oman, Al Seeb di final, Sabtu ini.

Menurut ayam tambatan KL City, Romel Morales, dia sedia memikul peranan sebagai penyerang bagi merobek gawang lawan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Katanya, biarpun kemungkinan taktikal bertahan bakal menjadi pilihan pengendali Bojan Hodak, dia percaya serangan balas pantas mampu memerangkap Al Seeb seperti dilakukan KL City ketika mengejutkan Sogdiana Jizzakh (kelab Uzbekistan), ATK Mohan Bagan (kelab India), Viettel FC (kelab Vietnam) dan PSM Makassar (kelab Indonesia) untuk mara ke final ini.

"Sebagai penyerang, saya sentiasa menantikan bola dan peluang sehingga wisel penamat untuk kekal konsisten dan berharap akan adanya peluang (menjaringkan gol).

"Hanya satu bola kami perlu memanfaatkannya untuk menjaringkan gol kerana apabila beraksi di Piala AFC ia agak sukar. Mungkin peluang hanya datang sekali atau dua kali saja, jadi setiap peluang yang hadir perlu digunakan sebaiknya kerana ia mungkin tidak ada lagi.

"Bukan mudah untuk bermain secara bertahan kerana perlu berlari di semua bahagian dan memberi tekanan.

"Tapi kami tahu bagaimana untuk melakukannya apabila persefahaman antara pemain agak baik dan tahu apa yang hendak dilakukan terutama dalam serangan balas serta kami perlu cepat membuat keputusan dan pergerakan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Morales sudah meledak dua gol buat KL City sepanjang kempen Piala AFC musim ini.

Dia meledak satu gol ketika membenam PSM Makassar dalam final Zon Asean yang menyaksikan anak buat Hodak menang 5-2, dengan satu lagi gol dilakukan di separuh akhir Antara Zon apabila menang 3-1 ke atas ATK Mohan Bagan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 5:21 PM