JHO Low (kiri) dan bapanya, Larry Low Hock Peng.
JHO Low (kiri) dan bapanya, Larry Low Hock Peng.
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng kerana menghina mahkamah.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, membuat keputusan itu selepas mengeluarkan waran komital dan memerintahkan mereka membayar kos RM5,000, akibat tidak mematuhi dua perintah injunksi yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Perintah injunksi itu memerlukan dua beranak terbabit mendedahkan lokasi keberadaan dan aset kepada mahkamah, menerusi saman difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan anak syarikatnya terhadap mereka serta empat yang lain.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Ltd yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investment Ltd, memulakan prosiding penghinaan mahkamah membabitkan Jho Low dan bapanya.

Pada 16 Mac lalu, 1MDB dan sebuah anak syarikatnya, memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Jho Low melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$1.03 bilion (RM4.32 bilion).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media menerusi sistem kehakiman, bapa ahli perniagaan itu turut dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta (RM1.7 bilion).

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited memfailkan saman AS$3.7837 bilion (RM15.9 bilion) terhadap Jho Low; bapanya; ibunya, Puan Sri Goh Gaik Ewe; kakaknya, May Lin; adik lelakinya, Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta (RM2.8 bilion) daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta (RM172 juta), AS$397 juta (RM1.7 bilion), AS$608 juta (RM2.5 bilion) dan AS$1.9 bilion (RM8 bilion) daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta (RM1.4 bilion) daripada Jho Low dan bapanya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta (RM2.6 bilion) daripada Hock Peng, Jho Low dan Eric Tan serta AS$2 juta (RM8.4 juta) daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta (RM14.7 juta) daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta (RM7.1 juta) daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia, selain AS$25.5 juta (RM107.1 juta) daripada Jho Low, Eric Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 2:56 PM