Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini juga.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Menara Dato Onn, di sini, malam ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan mesyuarat itu berasaskan pendirian konsisten Umno sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19.

"Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

"Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperoleh, sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk dalam memulihkan negara khususnya aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus lebih baik buat negara," katanya.

AHMAD melawat Cawangan Utama Negeri BSN, Satok pada program Suai Mesra bersama pelanggan dan penerima di Kuching. FOTO Nadim Bokhari.
AHMAD melawat Cawangan Utama Negeri BSN, Satok pada program Suai Mesra bersama pelanggan dan penerima di Kuching. FOTO Nadim Bokhari.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga lagi pemimpin 'Top 5' yang juga Naib Presiden Umno iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, mesyuarat MKT turut bersetuju memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin sebagai ahli Umno berkuat kuasa serta-merta dan menerima peletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno.

Susulan itu, katanya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno yang baharu.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

"Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk "My Story: Justice In the Wilderness" untuk segera didedahkan kepada umum.

"Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku itu yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009," katanya.

Katanya, Umno juga menjunjung titah Sultan Johor yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah serta kedaulatan negara.

Ahmad (dan bersalaman dengan akar umbi pada majlis doa selamat dan Ahli Parlimen Pontian di Benut, di sini, hari ini. FOTO Omar Ahmad
Ahmad (dan bersalaman dengan akar umbi pada majlis doa selamat dan Ahli Parlimen Pontian di Benut, di sini, hari ini. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 11:39 PM