Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) Umno malam ini tidak membangkitkan agenda mendesak Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat malam ini bertujuan untuk meneliti tawaran dan syarat dikemukakan bagi pembentukan kerajaan perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

"Tidak ada agenda untuk desak Presiden letak jawatan," katanya ketika ditemui di Menara Datuk Onn, di sini, malam ini.

Sejak 8 malam tadi, beberapa pemimpin utama parti Melayu itu tiba di Menara Dato Onn bagi menghadiri Mesyuarat MKT.

Sebelum ini, beberapa pemimpin kanan parti termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, Ahmad Zahid perlu mengambil maklum pandangan pemimpin serta ahli akar umbi parti yang mendesak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meletak jawatan.

Nada sama disuarakan Ahli MKT Umno, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Hari ini, BN mengadakan perbincangan lanjut bersama Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mencari kesepakatan bagi membentuk kerajaan.

Sehingga kini, tiada parti yang mampu membentuk kerajaan tanpa bekerjasama dengan beberapa gabungan parti lain termasuk dari Sarawak dan Sabah.

ASYRAF Wajdi hadir ke mesyuarat khas MKT UMNO di Menara Dato’ Onn. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ASYRAF Wajdi hadir ke mesyuarat khas MKT UMNO di Menara Dato’ Onn. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 8:41 PM