Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Seramai 27 warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala dua rakan senegara mereka didenda antara RM2,000 sehingga RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu, bulan lalu.

Kesemua tertuduh berusia 19 hingga 70 tahun yang juga pekerja kilang dijatuhi hukuman itu selepas masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa, Zhafran Rahim Hamzah dan Muhammad Iskandar Zainol.

Mereka yang dijatuhi hukuman penjara itu ialah Slamet Riyanti Kasirin; Sumianti Lahadi; Beretia Badulu; Riski Lasada; Nurlia Haeruddin; Anugerah Syaripuddin; Dawi Sadida; Husna Lino.

Roslia Borak; Andi Nur Aishah Akbar; Putri Mawarni; Dedi Saputra Ismail; Paridah Parangai; Herianti M Arif; Hadi Badrosa; Karyawati Langka; Nurhaidah Iwan.

Selain itu, tertuduh lain ialah Ita Lappa; Hernawati Cagga; Hitrana Ghafar; Nor Ahmad Ali; Enceng Sateng; Ratna Dewi Uti; Rohana Baso; Ainol Mardiah Amirudin; Ani M Tahir dan Hadilah Kacok.

Manakala Kasmira Pirman didenda RM3,000 dan Suriati Abu Tahir didenda RM2,000 serta masing-masing diperintah menjalani hukuman dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki kad pengenalan palsu di Taman Perindustrian Puchong, Seksyen 6 di sini, kira-kira jam 10.30 pagi pada 27 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Norfadilah Shaari dan Zulkarnain Ahmad.

Semasa rayuan, ada sebahagian tertuduh menangis sambil meminta maaf dan mengakui kesilapan dilakukan serta berjanji tidak mahu mengulangi kesalahan itu.

Kelmarin, media melaporkan 29 warga asing ditahan kerana memiliki kad pengenalan palsu menerusi satu operasi khas (Ops Pintas) yang dijalankan JPN di sekitar kawasan perindustrian Puchong, di sini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh dilapor berkata, operasi yang dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya berjaya menahan tiga lelaki dan 26 wanita warga asing.

SERAMAI 29 warga Indonesia dibawa ke mahkamah atas dakwaan menggunakan MyKad palsu. FOTO Aswadi Alias
SERAMAI 29 warga Indonesia dibawa ke mahkamah atas dakwaan menggunakan MyKad palsu. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:44 PM