Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Gelagat kanak-kanak perempuan merajuk sambil mencerut muka dan berpeluk tubuh di atas podium kerana gagal menjadi johan pertandingan taekwondo mencuit hati warganet.

Aksi Nur Arisa Ariana Mohd Arisan, 5, mendapat perhatian selepas video gelagatnya itu dikongsi di TikTok dan mendapat komen lucu daripada warganet.

Menceritakan kisah itu, ibunya Nur Haziqah Hashim, 33, berkata, anaknya mendapat tempat kedua pada Kejohanan Taekwondo Program 1,000 Liga Peringkat Manjung pada 10 September lalu.

Menurutnya, rajuk Nur Arisa Ariana yang mesra disapa Icha itu tindakan spontan apabila melihat suami, Mohd Arisan Ab Rahman, 35, berada di hadapan pentas ketika penyampaian medal.

"Icha anak tunggal dan dia sangat manja terutama dengan ayahnya. Ketika naik ke pentas ayahnya ada di hadapan untuk mengambil gambar itu yang dia tunjuk rajuknya.

"Lagipun ini penyertaan pertama Icha dalam kejohanan selepas menyertai kelas taekwondo pada Mac tahun lalu, jadi dia memang sangat teruja dan bersemangat," katanya yang tinggal di Lumut, Perak ketika dihubungi Harian Metro.

NUR Arisa Ariana mencuri perhatian selepas video gelagatnya yang mencuit hati dikongsi di TikTok. FOTO Ihsan Pembaca
NUR Arisa Ariana mencuri perhatian selepas video gelagatnya yang mencuit hati dikongsi di TikTok. FOTO Ihsan Pembaca

Katanya, mereka juga tidak menyangka Nur Arisa Ariana akan merajuk hingga turun pentas, namun anaknya itu kembali seperti biasa selepas dipujuk dan gembira menceritakan pengalamannya sambil menunjukkan medal dimenangi.

"Selepas keluar dewan kami ajak dia pergi taman permainan dan dia terus kembali ceria. Merajuk pun sekejap saja biasalah kanak-kanak," katanya.

Nur Haziqah berkata, Nur Arisa Ariana sangat meminati taekwondo dan kini sudah memakai tali pinggang hijau di bawah kendalian Master Eruan Sahiden.

"Bagi kami kejohanan ini untuk mendedahkan dan memberi pengalaman kepada Icha, menang atau tidak itu nombor dua. Icha dapat tempat kedua pun kami sudah cukup gembira.

"Selepas dia kembali ceria kami bersembang dan terangkan dengan dia situasi kejohanan yang ada adat kalah dan menang.

"Alhamdulillah Icha faham dan gembira kerana tetap dapat medal yang memang dia mahukan sangat," katanya.

Sementara itu, Eruan berkata, pelatih ciliknya itu seorang yang rajin mengikuti latihan terutama menjelang kejohanan dan sudah menyuarakan hasrat mahu menyertai kejohanan lain bagi membalas kekecewaan merebut gelaran johan.

Menurutnya, Nur Arisa Ariana berbakat dan boleh digilap dengan latihan berterusan dan berpotensi menjadi atlet taekwondo suatu hari nanti.

"Sebenarnya sebelum bertanding Icha penat kerana banyak bermain dalam dewan sebab itu dia tak boleh nak buat tendangan dengan baik.

"Tapi Icha memang aktif dan selalu bersemangat ketika latihan, malah dia juga bercita-cita mahu menjadi seperti Mohamad Irfan Eruan yang mewakili Perak pada Sukan Malaysia (Sukma)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 10:01 PM