DANIAL melawat Icha selepas pulang dari kerja. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin
DANIAL melawat Icha selepas pulang dari kerja. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin
Redzuan Muharam

Pasir Mas: Demi kasih, Dhia Danial Zaidudin tetap setia berada di sisi Nur Fifi Zulaika Erisya Mohd Sanadi biarpun tunangnya kini terlantar dalam keadaan separuh sedar.

Kisah itu mendapat perhatian selepas lelaki mesra disapa Danial, 19, berkongsi video di TikToK menunjukkannya menemani Nur Fifi Zulaika, 21, atau Icha yang terbaring di atas katil.

Berkongsi kisah itu, Danial berkata, keadaan Icha berubah selepas mereka berdua terbabit dalam kemalangan motosikal pada 10 April bersamaan Hari Raya Aidilfitri pertama lalu.

Menurutnya, dia dan tunangnya mengalami kecederaan, namun keadaan Icha lebih teruk.

Katanya, mereka bertunang pada Januari lalu dan merancang untuk berkahwin pada hari raya keempat lalu.

DANIAL dan Icha sebelum kemalangan. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin
DANIAL dan Icha sebelum kemalangan. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin

"Tapi pada pagi raya pertama iaitu ketika dalam perjalanan ke rumah saya untuk beraya, motosikal ditunggang saya dan dibonceng Icha merempuh sebuah kereta.

"Awalnya kami dimasukkan ke hospital sama iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, tapi tunang dipindahkan ke HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia), Kubang Kerian pada hari yang sama.

"Ini kerana dia mengalami pendarahan serta mendapat rawatan selama tiga minggu di situ. Manakala, saya pula ditahan selama 11 hari akibat patah tulang rusuk dan bahu," katanya.

DANIAL ketika dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya Aidilfitri lalu. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin
DANIAL ketika dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya Aidilfitri lalu. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin

Jurukimpal itu berkata, buat masa ini, Icha belum boleh makan kecuali meminum susu dan dia akan membantu menjaga tunangnya sebaik pulang bekerja setiap hari.

"Kedatangan saya atas permintaan keluarganya kerana dia tunjuk banyak respons bila saya datang. Saya akan bersembang walaupun dia hanya terseyum serta ada ketikanya menangis.

"Setakat ini, banyak perkembangan positif dan doktor kata ambil masa untuk sembuh. Jujurnya, saya rindu lihat senyumannya kerana dia orang yang ceria malah banyak beri semangat kepada saya dulu.

"Justeru, saya akan setia tunggu kerana dia ada dengan saya dulu waktu saya tiada apa," katanya.

Mengenai perkongsiannya di TikTok, Danial berkata, dia memuat naik hantaran kisah tunangnya kerana mengharap doa daripada orang ramai.

"Tapi ada yang ingat kami suami isteri, sedangkan tunang saja namun syukur kerana ramai doakannya," katanya.

DANIAL setia menjaga Icha yang terlantar. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin
DANIAL setia menjaga Icha yang terlantar. FOTO Ihsan Dhia Danial Zaidudin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 7:02 AM