LELAKI yang dipercayai terjatuh dari pesawat berkenaan. FOTO Agensi
LELAKI yang dipercayai terjatuh dari pesawat berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang lelaki di Carolina Utara Amerika Syarikat (AS) maut selepas terjatuh dari pesawat pada ketinggian 1,067 meter (m).

Kejadian berlaku petang Jumaat lalu ketika Charles Hew Crooks, 23, berlatih untuk menjadi juruterbang komersial.

Selepas insiden pembantu juruterbangnya menghubungi kawalan trafik udara untuk mendapatkan bantuan.

Menurut penyiasat, Crooks jatuh dari pesawat berkenaan tanpa dilengkapi payung terjun.

Pihak berkuasa tidak jelas sama ada dia melompat atau jatuh dari pesawat.

Penduduk melaporkan terdengar bunyi dentuman kuat dan menyebabkan polis melakukan pencarian di kawasan berkenaan.

Beberapa jam kemudian, mayatnya ditemukan pada pokok kira-kira 48 kilometer (km) ke selatan Lapangan Terbang Raleigh-Durham iaitu di kawasan perumahan di Fuquay-Varina.

Sebelum itu, juruterbang membuat panggilan kecemasan ke kawalan trafik udara memaklumkan bahawa dia ingin melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Raleigh-Durham.

Ia selepas pesawat itu gagal mendarat di Lapangan Terbang Raeford West.

"Kami cuba mendarat. Ia satu pendaratan yang sukar.

"Ketika itu, pesawat kehilangan roda," demikian perbualan juruterbang yang dapat didengari menerusi rakaman dikeluarkan oleh penyiasat.

Apabila pesawat akhirnya mendarat pada jam 2.40 petang, penguat kuasa undang-undang dan pasukan perubatan sudah berada di tempat kejadian.

Siasatan mendapati pada masa itu hanya juruterbang itu yang ada di dalam pesawat. Juruterbang itu kemudian dirawat kerana cedera ringan di hospital berdekatan. Bagaimanapun, media melaporkan kematian Crooks masih misteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 6:30 AM