MAYAT mangsa diterbangkan menggunakan helikopter ke bandar Moses Kilangin, Timika.
MAYAT mangsa diterbangkan menggunakan helikopter ke bandar Moses Kilangin, Timika.
Agensi

Jakarta: Polis Papua masih menyiasat kejadian kumpulan pemisah dikenali kumpulan penjenayah bersenjata (KKB) yang menyerang orang awam di daerah Nduga, Wilayah Papua, menyebabkan 10 terbunuh dan dua parah, Sabtu lalu.

Ketua Perhubungan Awam Polis Papua, Kombes Ahmad Kamal mengesahkan pihaknya sedang memburu pelaku.

"Sehingga saat ini, anggota polis Nduga dengan kerjasama Pasukan Petugas Pengaman Cartenz dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih menyiasat punca KKB bertindak demikian," kata Kamal kepada Detikcom.

Dalam kejadian itu, kumpulan berkenaan melancarkan serangan di empat lokasi di daerah berkenaan.

Dalam satu serangan, 20 anggota kumpulan bersenjatakan tiga senapang dan sepucuk pistol, menyerang hendap sebuah lori membawa orang awam.

Seorang ustaz, Ustaz Daeng Marannu, 42 dan paderi bernama Eliaser Baner, 54 antara 10 individu yang maut dalam serangan itu.

Ustaz Daeng Marannu adalah seorang dai yang biasa berdakwah di Masjid Kenyam, Kampung Nogolait, Kabupaten Nduga, Papua.

Jenazah Ustaz Daeng Maranru akan dihantar ke kampung halamannya di Sulawesi Selatan.

Sementara itu, Eliaser Baner ditembak ketika cuba meleraikan kejadian.

Mangsa lain Yulius Watu, 23, Hubertus Goti, 41, Taufan Amir, 42, Johan, 26, Alex , 45, Yuda Nurusinga, 22, Nasjen, 41, dan Sudirman, 36.

Sementara itu, Kementerian Agama (Kemenag) menerusi wakilnya Zainut Tauhid Sa'adi mengutuk kekejaman kumpulan berkenaan yang mensasarkan golongan agama sebagai mangsa.

"Saya mengutuk keras kekejaman kumpulan KKB yang menganiaya dan menembak 10 orang di Kabupaten Nduga, Papua, yang mana di antara yang terbunuh adalah tokoh agama," kata Zainut ketika dihubungi Detikcom, kelmarin.

"Sasaran kekejaman KKB tidak memandang sesiapa, bahkan sudah menyasar kepada tokoh agama, sama ada paderi atau ustaz. Bagi saya ia melampaui batas nilai kemanusiaan," katanya.

PASUKAN keselamatan membantu mengangkat mayat sebaik tiba di Timika. FOTO Agensi
PASUKAN keselamatan membantu mengangkat mayat sebaik tiba di Timika. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 6:30 AM