SULAIMAN mengedarkan daging kepada penduduk setempat ketika ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha di Kampung Souma-sali, Solenzo. FOTO Asyraf Hamzah
SULAIMAN mengedarkan daging kepada penduduk setempat ketika ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha di Kampung Souma-sali, Solenzo. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Firdaus Ibrahim

Bobo-Dioulasso (Burkina Faso): "Moga Allah rahmati Malaysia, rakyatnya dan dipelihara daripada musibah,".

Itu doa dititipkan warga emas Haruna Kalouga, 85, kepada rakyat Malaysia ketika rombangan EZ Qurban Sdn Bhd menziarahinya di rumah di Kiri, di sini, hari ini.

Haruna, bekas imam di Masjid Kiri yang sudah uzur sejak beberapa tahun lalu berkata, bumi Burkina Faso dirahmati Allah dengan kehadiran saudara seagama dari Malaysia.

"Benar kami di sini dalam masalah, dihimpit kemiskinan dan kekurangan yang sangat teruk. Politik sangat tidak stabil, rampasan kuasa berlaku menambahkan kesengsaraan rakyat. Harga barangan keperluan asas tinggi. Ramai tiada kerja dan tak dapat makan.

"Kehadiran kamu dari Malaysia apatah lagi dengan melaksanakan korban di sini nyata memberi kegembiraan buat semua. Hanya Allah membalas kebaikan anda semua," katanya.

Menurutnya, biarpun tidak pernah sampai ke Malaysia namun dia mengetahui bahawa jaraknya sangat jauh.

"Belum ada orang lain di benua sana sampai ke sini. Malaysia dikenali dengan kebaikannya membela saudara seagama terutamanya Palestin.

"Bila anda tiba di sini, suatu rahmat buat kami di Burkina Faso. Sampaikan salam dan penghargaan saya kepada seluruh rakyat Malaysia. Berkah (terima kasih)," katanya.

Sementara itu, Ketua Deligasi EZ Qurban Sdn Bhd, Sulaiman Arsad berkata, di Kiri, sebanyak tujuh lembu dikorbankan.

Menurutnya, korban itu akan dimanfaatkan sebaiknya kira-kira hampir 6,000 penduduk setempat.

Katanya, setakat ini, sudah 87 lembu korban disembelih dan diagihkan di beberapa tempat seperti Kampung Ban dan Samoa-sali (Solenzo); Kiri dan Fadima (Bobo-Dioulasso).

"Baki 27 lembu pula dikorbankan pada hari terakhir yang mana dagingnya diagihkan kepada penduduk di sekitar kampung di Solenzo. Walaupun tidak dapat melawat lokasi sembelihan dan agihan, wakil EZ Qurban di sini memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Katanya, amanah rakyat Malaysia untuk melaksanakan korban di sini dilaksanakan dengan jayanya.

"Terima kasih kepada semua peserta dan moga korban anda semua diterima Allah sebagai satu ibadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 9:39 AM