Mohd Firdaus Ibrahim


Solenzo (Burkina Faso): "Ini daging pertama buat saya dan keluarga tahun ini," kata Fatimah Akhyi, 44.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya hanya menjamah daging yang dianggapnya makanan mewah setahun sekali ketika Aidiladha.

"Jika tiada korban, kami biasanya makan roti sahaja. Setahun sekali saja dapat makanan ini. Syukur kepada Allah," katanya yang memiliki lima anak kecil berusia antara dua hingga sembilan tahun ketika ditemui di Kampung Soama-Sali, dekat sini, hari ini.

Fatimah berkata, daging ini akan disimpan dan boleh dimakan untuk seisi keluarga selama sebulan.

"Kita akan jemur dan keringkan daging ini untuk pastikan ia bertahan bagi tempoh sebulan," katanya.

Suasana ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha di Kampung Souma-sali, Solenzo. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suasana ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha di Kampung Souma-sali, Solenzo. FOTO ASYRAF HAMZAH

Sementara itu, Alli, 42, berkata, dia mendoakan seluruh rakyat Malaysia memperoleh kebaikan atas pelaksanaan korban di kampungnya.

"Bukan saja korban dilakukan malah kehadiran saudara dari Malaysia juga membuatkan saya dan penduduk kampung sangat bangga dan teruja. Terima kasih. Hanya Allah membalas jasa rakyat Malaysia seluruhnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Delegasi Sulaiman Arsad berkata, sebanyak 50 lembu dikorban di Kampung Ban, di sini, hari ini.

"Ia dapat dimanfaatkan 16,000 penduduk kampung ini. Daging akan diagihkan kepada mereka yang berkenaan dengan bantuan Dramene Guire (wakil EZ Qurban)," katanya.

Menurutnya, baki 60 lagi lembu akan dikorbankan pada hari raya ketiga dan keempat yang dijadualkan berlangsung di beberapa perkampungan berhampiran selain di Bobo-Dioulasso kira-kira 200 kilometer dari Solenzo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 12:13 PM