RACHEL anggap setiap buku terpakai yang diterima sama ada disumbangkan atau dibeli daripada orang ramai mempunyai nilai tersendiri.
RACHEL anggap setiap buku terpakai yang diterima sama ada disumbangkan atau dibeli daripada orang ramai mempunyai nilai tersendiri.

Kuala Lumpur: Bagi pekerja kedai buku terpakai dalam talian Books and Bobs, membuka kotak mengandungi buku-buku terpakai ibarat menyelongkar peti harta karun yang kadangkala menemukan mereka dengan 'khazanah' yang mempunyai nilai tersendiri.

"Setiap kali ada kotak sampai, kita akan buka dan belek dengan teliti buku yang diterima kerana adakala buku terbabit mempunyai autograf penulis dan ada juga buku edisi pertama," kata pemilik Books and Bobs Rachel Ang.

Sekalipun begitu, Ang berkata, setiap buku terpakai yang diterima, sama ada sumbangan mahupun yang dibeli daripada orang ramai, mempunyai nilai masing-masing.

"Buku yang berkeadaan terlalu lusuh sekalipun masih bernilai, iaitu kita hantar untuk dikitar semula," kongsinya dengan Bernama baru-baru ini.

Bekas akauntan bertauliah dan ejen insurans itu memutuskan untuk menjadikan kegemaran membaca dan rasa cinta beliau terhadap buku sebagai sumber pendapatannya dengan menubuhkan Books and Bobs pada Julai 2016, bermodalkan tidak sampai 100 buah buku.

"Saya sebenarnya menganggur selama beberapa tahun selepas meninggalkan industri pemasaran. Malah, saya pernah menjalankan perniagaan dalam talian menjual barang perhiasan kostum selama kira-kira setahun.

"Namun kehidupan saya pada masa itu terlalu sibuk menyebabkan saya mengalami kemurungan. Sepanjang tempoh itu saya mencari ketenangan menerusi buku sebelum saya beransur-ansur terlibat dalam penjualan buku melalui Facebook. Saya mulakan dengan mengiklankan 50 buah buku daripada koleksi saya dan juga buku baharu kepada kawan-kawan dan ahli kelab buku. Saya kemudian perluas pasaran dengan menyertai kumpulan pencinta buku melalui Instagram," ceritanya.

Tambahnya, pada tahun pertama, beliau melakukan aktiviti itu secara sambilan dan hanya terbabit sepenuh masa setahun kemudian apabila perniagaannya semakin berkembang.

Sebagai seorang yang sangat gemar membaca, Ang lazimnya mendapatkan buku daripada kedai buku terpakai bagi menjimatkan kos kerana harga buku baharu agak mahal.

"Ada masa saya terpaksa berjimat cermat untuk membeli buku kerana dana yang terhad. Disebabkan harga yang tinggi juga saya keberatan untuk membeli buku baharu serta karya penulis yang tidak dikenali. Justeru, penyelesaian terbaik adalah membeli buku terpakai," jelasnya.

Ang juga berpandangan dengan menjual buku terpakai, beliau sebenarnya berkongsi nilai sentimental sesebuah buku itu untuk dihargai oleh pembaca atau pemilik seterusnya.

"Atas sebab itu jugalah 90 peratus buku dalam stok kami adalah buku terpakai," jelasnya lagi, menambah mereka turut menjual buku baharu bagi memberi pilihan kepada pengguna.

Mengenai nama premisnya yang agak unik, Ang berkata nama Books and Bobs itu dicadangkan oleh suaminya yang mengambil inspirasi drama teater British bertajuk Bits and Bobs.

Menurutnya, bits and bobs adalah slanga dalam bahasa Inggeris yang bermaksud 'pelbagai jenis objek kecil.'

"Sekarang kami ada kira-kira 15,000 naskhah buku dalam stok," katanya.

Mengenai harga pula, beliau berkata, penetapan dibuat berdasarkan gred buku iaitu 'buku baharu', 'seakan baharu', 'sangat baik' dan 'boleh diterima.'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 8:00 AM