Zainal Abidin Ali, 71 membaiki kipas pelanggannya yang telah rosak ketika temui di rumahnya di Blok Q, Sawah Sempadan, Tanjung Karang. Menurutnya, hasil pendapatan tersebut adalah untuk menanggung pebelanjaan rawatan isterinya yang menghidap kencing manis. Upah membaiki kipas tersebut dengan anggaran antara RM30 sehingga RM70 mengikut kerosakan. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Zainal Abidin Ali, 71 membaiki kipas pelanggannya yang telah rosak ketika temui di rumahnya di Blok Q, Sawah Sempadan, Tanjung Karang. Menurutnya, hasil pendapatan tersebut adalah untuk menanggung pebelanjaan rawatan isterinya yang menghidap kencing manis. Upah membaiki kipas tersebut dengan anggaran antara RM30 sehingga RM70 mengikut kerosakan. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Usia emas dan menghidap penyakit paru-paru berair tidak menghalang Zainal Abidin Ali, 71, mengusahakan perniagaan membaiki serta menjual kipas terpakai di di Blok Q, Sawah Sempadan, di sini sejak tiga tahun lalu.

Bercerita lanjut, dia yang mesra dipanggil Pak Jenal Kipas berkata, dia mula menceburi ilmu dan teknik membaiki kipas daripada seorang rakan karibnya di Sungai Sireh pada 2018.

"Disebabkan minat (membaiki kipas) yang mendalam, saya berhenti sebagai pemotong sawit dan fokus kepada bidang itu.

"Biasanya, saya akan pergi ke kedai besi buruk di Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Kapar dengan menunggang motosikal bagi mencari kipas rosak dan terpakai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zainal Abidin berkata, proses membaiki memakan masa kira-kira tiga jam dan adakalanya sehingga tiga hari bergantung kepada jenis kerosakan.

"Untuk harga pula, setiap kipas yang dijual mengikut saiz dan ia bermula antara harga RM30 hingga RM70. Namun, ia terpulang kepada pembeli untuk membayar dengan seikhlas hati," katanya.

Menurutnya, doktor mengesahkan dia menghidap penyakit paru-paru berair pada 2019.

"Penyakit (paru-paru berair) ini ujian dari Allah SWT. Saya kena kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

"Dalam masa sama, saya perlu menanggung isteri (Sa'diah Mohd Yatim, 53) yang menghidap kencing manis dan kolesterol tinggi," katanya yang juga bapa kepada empat anak.

Kata Zainal Abidin, sehingga kini dia sudah membaiki dan menjual lebih 100 kipas terpakai selain boleh membaiki barangan elektrik seperti mesin basuh, seterika, cerek air dan periuk nasi.

"Alhamdulillah, dengan rezeki baiki kipas dan barangan elektrik lain, ia mampu menampung kehidupan kami berdua seharian.

"Saban hari, saya berdoa kepada Allah SWT supaya terus diberikan kekuatan dan tenaga untuk terus mencari rezeki," katanya.

Orang ramai yang ingin membeli kipas terpakai dan menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Zainal Abidin di talian 013-4661976.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 9:48 PM