Nor Aina bersama lima anaknya di hadapan rumah yang dibina suaminya daripada barangan terpakai. FOTO ihsan Nor Aina Abd Rashid
Nor Aina bersama lima anaknya di hadapan rumah yang dibina suaminya daripada barangan terpakai. FOTO ihsan Nor Aina Abd Rashid
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Terharu apabila ada yang sudi membantu memberi tempat berteduh yang lebih selesa buat keluarga saya," kata ibu kepada lima anak, Nor Aina Abd Rahman.

Nor Aina, 30, berkata, sudah hampir enam bulan tinggal di rumah yang dibina sendiri suaminya Mohd Daud Abdur Rahman, 39, di Kampung Kubang Lintah, Kodiang, Jitra, Kedah.

Akibat tiada modal yang cukup, Nor Aina dan keluarga terpaksa menyambung elektrik dari rumah sepupunya dan hanya bergantung pada air telaga untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Sebelum ini kami menumpang di rumah kakak kandung saya dan baru saja membina rumah ini Jun lalu di tanah arwah bapa.

"Rumah ini suami bina sendiri dengan membeli papan lapis dan besi menggunakan wang lebihan RM500 daripada Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Manakala zink yang menjadi bumbung rumah dan dinding selebihnya menggunakan barangan terpakai," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Nor Aina berkata, hidup susah sudah biasa baginya namun memikirkan masa depan anak-anaknya yang mana empat daripadanya sudah bersekolah, dia nekad mahu menyediakan keselesaan buat mereka.

Siapa sangka keinginannya itu menjadi kenyataan apabila gurunya yang kini pesara, Aisyah Abd Rashid melawatnya di rumah dan turut menghulurkan bantuan kewangan.

"Selepas cikgu kongsi kisah saya di Facebook, ramai pihak yang menderma supaya hasrat kami sekeluarga memiliki rumah lebih selesa tercapai.

"Saya sebenarnya tidak mahu menyusahkan sesiapa dan amat berterima kasih atas keprihatinan semua yang membantu," katanya.

Menurutnya, selain menguruskan anak, dia juga melakukan kerja sampingan menjual coklat secara dalam talian.

"Keluarga juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM450 sebulan bagi menampung perbelanjaan rumah.

"Walaupun begitu, kami tidak dapat kumpul modal membina rumah kerana pendapatan kami tidak tetap dan banyak digunakan untuk keperluan harian saja," katanya.

Katanya, kini jumlah bantuan yang diterima daripada orang ramai setakat ini adalah sebanyak RM810 dan ia sudah digunakan membeli batu-bata, simen dan beberapa keperluan bahan binaan rumah lain.

Nor Aina mempunyai lima orang anak yang berumur 2, 6, 9, 10 dan 12 tahun.

Orang ramai yang mahu membantu Nor Aina dan keluarganya boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Nor Aina Abd Rahman 7615594898.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 4:30 PM