MENJADI satu-satunya anggota IN2IT bukan rakyat Korea Selatan, Isaac berasakan usahanya berbaloi
MENJADI satu-satunya anggota IN2IT bukan rakyat Korea Selatan, Isaac berasakan usahanya berbaloi
Georgie Joseph


BERGELAR idola dalam industri K-Pop di Korea Selatan pastinya menjadi impian ramai bakat muda. Bahkan di negara itu sendiri, jutaan remaja menaruh harapan ingin mengejar kemasyhuran status sebagai artis.

Justeru, penyanyi Isaac Voo, 28, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah cukup bertuah kerana berjaya mencipta nama di sana.

Hakikatnya, anggota kumpulan IN2IT ini menjadi rakyat Malaysia pertama berbuat demikian.

Apa yang menarik, industri hiburan Korea Selatan sentiasa mengalu-alukan bakat dari negara lain untuk bertapak di sana.

Pendedahan diraih bukan calang-calang kerana industri K-Pop digilai di seluruh dunia sehingga hari ini.

Isaac sendiri tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya pencapaian diraihnya itu. Baginya, ia bukan sekadar untuk kepuasan peribadi sebaliknya bangga dapat membawa nama Malaysia di peringkat lebih tinggi.

"Sewaktu saya memutuskan untuk tinggal di sana beberapa bulan bagi menghadiri uji bakat, ibu bapa fikir saya 'gila'. Malah, saya juga tidak membawa wang dan pakaian yang mencukupi kerana pada asalnya saya ke sana cuma untuk menyertai satu pertandingan.

"Namun, saya memang sudah nekad untuk lunaskan impian tanpa mahu menoleh ke belakang. Setiap hari, saya hadir ke pelbagai uji bakat di lebih 10 agensi termasuk SM Entertainment tanpa rasa penat.

"Jadi, apabila berjaya dan memulakan karier pada 2017, syukur sangat usaha saya berbaloi. Sememangnya lebih manis adalah saya dapat membawa nama Malaysia dalam industri yang cukup berat persaingannya itu," katanya.

Dalam kumpulan IN2IT, Isaac juga menjadi satu-satunya anggota bukan warganegara Korea Selatan. Anggota lainnya seperti Yoo Ji-ahn, Jung Yeon-tae, Hwang In-ho, Han Hyun-uk dan Lee In-pyo semuanya berasal dari sana.

Dia akui memang berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri juga pada peringkat awal. Mana tidaknya, dia belum fasih bertutur bahasa Korea dan memperjudikan nasib untuk pastikan dapat menjadi artis K-Pop terlebih dulu.

ISAAC bangga bawa nama Malaysia dalam industri hiburan K-Pop.
ISAAC bangga bawa nama Malaysia dalam industri hiburan K-Pop.

Bagaimanapun, itulah sebenarnya tugasan yang paling penting buatnya demi kehadirannya diterima dengan hati terbuka industri di sana.

Menurutnya, dia tidak mengambil masa lama untuk selesakan diri dengan yang lain.

"Memang mencabar juga pada mulanya terutama dari segi komunikasi kerana rata-rata anggota lain tidak bertutur bahasa Inggeris. Saya pula memang cuma tahu sedikit bahasa mereka tapi belum cukup membantu.

"Pernah berlaku juga sewaktu kami adakan sesi siaran langsung di media sosial bersama peminat, saya ditegur kerana banyak menggunakan bahasa Inggeris. Jadi, saya kemudian mengasah penguasaan bahasa Korea selama beberapa bulan," katanya.

Isaac turut bersyukur mendapat rakan anggota kumpulan yang sentiasa menjadi sistem sokongan terkuat buatnya. Menjadi yang paling muda antara mereka, dia sentiasa rasa selamat dan dilindungi.

"Saya cukup tersentuh dengan cara mereka melayan saya tanpa ada sedikit pun terdetik rasa seperti disisihkan. Mereka saya anggap abang yang cukup melindungi dan sentiasa ada di sisi sekiranya perlu perhatian," katanya.

KEMBANG KERJAYA SOLO DI MALAYSIA

Walaupun memulakan kerjaya seninya di Korea Selatan, Isaac tidak pernah lupakan tanah air sendiri. Terbaharu, dia kembali ke sini pula demi mengembangkan karier kerana anggota lain IN2IT sedang menjalani khidmat ketenteraan yang wajib di negara itu.

Dia mengakui sekarang waktu tepat untuk berbuat demikian kerana aktiviti seni di Korea Selatan pun diperlahankan.

Oleh itu, dia memutuskan untuk menerima tawaran agensi artis tempatan, Prodigee Asia Talent yang melamarnya, baru-baru ini.

Isaac berkata, dia sudah lama impikan ada lagu tempatan baik bahasa Melayu, Inggeris, mahupun Mandarin di sini. Dia yang boleh bertutur empat bahasa termasuk Korea teringin menghasilkan lagu Melayu khasnya.

"Saya akui memang sekarang ini masih perlu mengasah semula penguasaan bahasa Melayu. Bagaimanapun, saya harap sangat akan dapat melancarkan lagu Melayu atau album penuh terus pada masa hadapan.

MENJADI artis naungan Prodigee Asia Talent di Malaysia.
MENJADI artis naungan Prodigee Asia Talent di Malaysia.

"Sekarang fokus saya memang tertumpu dengan karier di sini pula. Saya berterima kasih kepada Prodigee Asia Talent yang memberi kepercayaan untuk mengemudi perjalanan seni saya di Malaysia," katanya.

Tampil aktif secara solo ketika itu, Isaac tidak menafikan memang timbul rasa kekok apabila tidak bergerak secara berkumpulan. Namun, dia sendiri berasa ia satu hikmah untuknya lebih mengenal hala tuju diri sendiri.

"Biasanya kalau dengan anggota IN2IT lain, saya menjadi anggota paling bongsu dan lebih banyak menurut saja arahan. Saya akui banyak hal juga yang perlukan saya bergantung penuh dengan mereka.

"Jadi, saya rasa memang ada juga perbezaan apabila kena bergerak solo. Tapi, selebihnya rasa lebih teruja kerana saya dapati ia menyerlahkan lagi sikap berdikari dan tegas buat keputusan dalam diri," katanya.

Bukan setakat menyanyi, Isaac tidak menolak ingin mencuba bidang lakonan juga sekiranya mendapat peluang di sini.

Baginya, dia sentiasa terbuka untuk teroka lagi kemampuan dirinya sejauh yang boleh.

"Di Korea Selatan pun saya memang pernah terbabit dalam pementasan muzikal. Dari situlah minat terhadap bidang lakonan tercetus dan sejujurnya saya sangat suka berlakon. Kalau dapat peluang, memang saya akan sambar," katanya.

Mengukuhkan nama di Malaysia buat ketika ini, Isaac bagaimanapun akan berulang-alik ke Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 6:00 AM