IKAN arowana super red kapuas yang dipanggil Abang Jago dari Indonesia. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
IKAN arowana super red kapuas yang dipanggil Abang Jago dari Indonesia. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Usaha gigih seorang pemuda membeli ikan arowana super red kapuas dari Indonesia dua tahun lalu berbaloi apabila ikan air tawar itu kini ditawar pada harga RM20,000 seekor.

Bagaimanapun, Arham Azmi, 34, dari Jitra Kedah, tidak bersedia untuk menjualnya kerana yakin ikan arowana atau kelisa ada harganya yang tersendiri yang cukup meyakinkan.

Arham mengakui membeli arowana super red kapuas itu dari Indonesia dengan harga RM9,000 seekor pada 2020.

"Saya beli sebab tertarik dengan warnanya yang kemerah-merahan selain ingin dijadikan penghias dalam rumah. Jika berasa penat dan tekanan selepas pulang dari tempat kerja, Abang Jago itu akan menjadi terapi kepada saya. Hanya tengok Abang Jago berenang dalam tempoh 15 minit sudah membuatkan saya berasa tenang dan ia memang terapi yang baik," katanya.

Tambahnya, ikan arowana kesayangannya itu pernah ditawar dengan harga RM18,000 hingga RM20,000 seekor oleh peminatnya pada tahun lalu.

"Setakat ini saya tak bersedia untuk menjualnya maklumlah bukan senang untuk dapatkan ikan arowana merah seperti itu.

"Bukan senang dan sekejap masa yang diambil untuk mendapatkan ikan arowana merah seperti itu justeru tidak hairanlah ia ditawar pada harga yang tinggi.

"Semakin lama dan berusia ikan itu harganya akan semakin tinggi dan sekarang Abang Jago berusia empat tahun," katanya.

ARHAM menunjukkan ikan arowana super red kapuas miliknya yang ditawar pada harga RM20,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ARHAM menunjukkan ikan arowana super red kapuas miliknya yang ditawar pada harga RM20,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Menurutnya, ikannya itu boleh mencapai usia 20 hingga 30 tahun sekiranya dijaga dengan baik.

"Walaupun harga ikan arowana itu mahal, namun kos penjagaannya sangat murah berbanding memelihara haiwan seperti kucing. Saya memperuntukkan RM50 sebulan membeli makanan kegemaran ikan arowana seperti katak, cengkerik dan ulat roti," katanya.

Bercerita lagi, katanya, dia juga mempunyai lebih 20 ikan arowana Malaysian Golden Blue Base yang dibeli dengan harga RM300 hingga RM3,000 seekor.

"Saya mempunyai 60 ekor koleksi ikan arowana pelbagai jenis dan sebahagiannya diimport dari Indonesia dan sukar diperoleh," katanya.

Tanpa berselindung, dia mengakui membela ikan arowana adalah hobi yang cukup menyeronokkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 7:30 AM