KUALITI arowana Super Red yang dimiliki turut mendapat perhatian peminat ikan dari luar negara.
KUALITI arowana Super Red yang dimiliki turut mendapat perhatian peminat ikan dari luar negara.
Muhamaad Razis Ismail


SALAH seorang pengimport ikan hiasan adalah pemilik Equine Aquatics, Arham Syafiq Azmi yang aktif mengimport ikan arowana Super Red berkualiti dari habitat asalnya di Sungai Kapuas, Kalimantan Barat, Indonesia sejak dua tahun lalu.

Ikan air tawar yang mampu mencecah ratusan ribu ringgit itu bukan sahaja untuk dijual pasaran tempatan, malah turut mendapat permintaan tinggi di luar negara termasuk Thailand, Filipina dan Vietnam.

Pada masa sama, beliau yang memiliki hampir 100 arowana Super Red itu turut menempa nama apabila berjaya memperoleh beberapa kejayaan besar dalam pertandingan ikan arowana yang dijalankan di luar negara.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, pembabitannya dengan arowana itu bermula sekadar hobi kerana tertarik dengan keunikan ikan berkenaan yang mempunyai fizikal dan sisik yang berwarna merah terang.

"Saya suka melihat gaya 'angkuh' arowana berenang perlahan dengan jelingan matanya, seolah-olah sedang menari sambil mempamerkan keindahan bentuk badannya.

"Keseronokan lain adalah apabila disuapkan makanan, ikan ini akan terus menyambar sepantas kilat," katanya.

Katanya, melihat potensi yang dimiliki ikan ini sama ada di dalam mahupun di luar negara, mendrorong beliau terbabit secara serius untuk menjana pendapatan menerusi hidupan akuatik itu.

"Untuk tiga bulan pertama, saya sendiri berulang-alik ke Sungai Kapuas untuk mencari penternak ikan arowana Super Red berkualiti dan boleh dipercayai. Alhamdulillah usaha saya itu membuahkan hasil apabila berjaya menemui individu yang dapat membekalkan ikan yang diperlukan," katanya.

Bukan itu sahaja, cabaran lain yang perlu dihadapi adalah untuk mencari jalan bagaimana untuk membawa masuk ikan ini ke negara ini dengan selamat.

"Dalam hal ini, saya perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia. Untuk peringkat awal agak rumit dan berdepan beberapa masalah kerana tidak biasa, namun lama-kelamaan ia menjadi lebih mudah.

"Selain itu, saya juga perlu mengenal pasti pihak yang berpengalaman supaya ikan arowana yang dibeli dapat tiba ke negara ini tanpa sebarang masalah yang boleh menyebabkan kerugian yang besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:01 AM