Muhamaad Razis Ismail


SEBAIK melangkah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat ini penulis dan jurugambar terpegun melihat akuarium besar yang ditempatkan di ruang tamu.

Apa tidaknya, akuarium bersaiz 2.4 meter x 0.9 meter x 0.9 meter bernilai RM10,000 itu menempatkan pelbagai jenis ikan tawar termasuk sembilan ekor ikan arowana.

Selain itu, terdapat dua akuarium bersaiz 1.2 meter yang masing-masing menempatkan seekor ikan arowana Super Red dan arowana Malaysian Golden Crossbelly manakala empat lagi akuarium ditempatkan di luar dan di dalam bilik yang terletak di tingkat atas rumah. Arowana turut dikenali sebagai ikan kelisa dalam masyarakat di negara ini.

Pemiliknya, Mohamad Al- Hafizi Nasaruddin, 34, berkata, antara ikan yang paling disayangi dia dan isterinya, Zuraidah Iddris, 34, adalah ikan arowana Super Red yang dinamakan Delima.

Katanya, nama itu diberikan sempena warna sisik ikan ini berwarna merah seperti buah delima.

"Ikan berharga RM10,000 ini berasal dari Sungai Kapuas, Indonesia yang cukup terkenal dengan arowana berkualiti tinggi.

"Selain memiliki sisik berwarna merah menyala, keunikan ikan ini adalah pada kepalanya yang berbentuk sudu dan sirip panjang yang dipanggil 'dayung samurai.'

Ciri-ciri yang terdapat pada ikan ini menjadikannya antara ikan bernilai tinggi.

"Saya pernah ditawarkan RM20,000 oleh individu dari Singapura yang ingin membeli Delima, namun terpaksa menolak kerana saya dan isteri sayangkan ikan ini," katanya.

UDANG yang sudah dikupas kulit antara makanan kegemaran arowana.
UDANG yang sudah dikupas kulit antara makanan kegemaran arowana.

Menurutnya, dia mula memelihara ikan pelbagai jenis termasuk kelah, lampam dan sebarau sejak 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, hatinya mula tertarik dengan ikan arowana selepas diberi salah seorang rakannya 10 tahun lalu.

"Pada ketika itu, isteri tidak begitu menggemari hobi saya memelihara ikan di rumah. Bagaimanapun persepsi isteri saya terhadap ikan mula berubah apabila saya memelihara arowana.

"Antara tarikan adalah sisiknya yang mempunyai warna yang cantik seperti merah, emas, biru, ungu dan sebagainya. Selain itu, bentuk kepalanya seperti sudu dan peluru juga menjadikannya sebagai ikan pilihan.

"Paling mencuri tumpuan adalah gaya arowana berenang perlahan seolah-olah ikan ini sedang menari sambil mempamerkan keanggunan dan keayuan yang dimiliki. Saya boleh meluangkan masa selama beberapa jam sehingga tertidur melihat ikan ini berenang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor baru-baru ini.

MAKANAN diberikan dua hari sekali.
MAKANAN diberikan dua hari sekali.

Katanya, biarpun dikategorikan sebagai ikan kayangan, penjagaannya sangat mudah dan tidak terlalu rumit berbanding ikan lain berbekalkan teknik serta ilmu yang betul.

"Sepanjang pengalaman memelihara ikan selama 15 tahun, saya boleh katakan penjagaan ikan arowana adalah paling mudah. Perkara paling penting yang perlu dititik beratkan adalah penjagaan air. Apabila kita menjaga air, ia membantu mencegah ikan diserang penyakit atau stres.

"Air akan ditukar sama ada seminggu atau dua seminggu sekali untuk memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih. Pada masa sama, saya turut menggunakan perumah bakteria untuk membantu menguraikan amonia yang dihasilkan daripada najis ikan," katanya.

Berkongsi berkenaan pemakanan, ikan arowana adalah hidupan akuatik bukan jenis memilih makanan kerana apa sahaja yang diberikan akan dimakan.

AL-Hafizi dan isterinya berkongsi minat yang sama.
AL-Hafizi dan isterinya berkongsi minat yang sama.

"Biasanya, saya akan berikan udang yang sudah dibuang kulit, ikan kembung, ikan selar (yang sudah dipotong), ikan pengumpan (keli dan tilapia) dan katak yang diberikan dua hari sekali," katanya.

Seperti yang diketahui, sisik antara aset penting arowana yang turut menyumbang kepada harga ikan ini di pasaran.

"Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk penjagaan sisik arowana, antaranya adalah dengan menggunakan vitamin khas yang direndam bersama makanan.

"Selain itu, saya turut menjalankan proses 'tanning' dengan menggunakan lampu khas yang mempunyai cahaya UVA dan UVB selama 12 jam sehari untuk mempercepatkan proses menaikkan warna sisik," katanya.

AKUARIUAM bernilai RM10,000 untuk menempatkan pelbagai jenis ikan air tawar.
AKUARIUAM bernilai RM10,000 untuk menempatkan pelbagai jenis ikan air tawar.

Tambahnya, biarpun ikan ini cukup dikenali sebagai ikan pemangsa, ia boleh dipelihara bersama ikan lain menggunakan teknik yang betul.

"Antara kaedah yang dilakukan adalah melepaskan semua ikan ini serentak pada satu-satu masa ketika proses menukar air.

"Bagaimanapun, dalam tempoh tertentu, ikan ini akan menjadi garang namun tidak terlalu ganas sehingga membunuh ikan lain. Biasanya ia hanya gigit manja sahaja. Apabila keadaan ini berlaku saya akan buka alat 'wavemaker' untuk pastikan ikan ini sibuk berenang," katanya.

Jelasnya bagi individu yang ingin menjadikan arowana sebagai ikan peliharaan perlu mempunyai minat yang tinggi.

"Bermula dari minat akan timbul kerajinan kerana ia menuntut komitmen tinggi daripada pemiliknya selain perlu memastikan air dalam keadaan bersih.

"Malah daripada minat juga, akan memberi motivasi kepada individu itu untuk mencari modal mencukupi untuk memiliki dan menjaga ikan ini dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:00 AM