WARNA Arowana Super Red lebih menonjol apabila dilimpahi cahaya.
WARNA Arowana Super Red lebih menonjol apabila dilimpahi cahaya.
Hafiz Ithnin


LENGGOK tubuh, warna, susunan sisik dan wajah yang kelihatan garang menjadikan kelisa atau arowana ini begitu menarik perhatian peminatnya.

Malah, harga yang ditawarkan di pasaran juga mampu mencecah ribuan ringgit mengikut tahap keunikan yang ada padanya.

Tidak sekadar itu, ikan air tawar yang terkenal dengan nama saintifiknya, scleropages fomosusturut ini didagangkan merentasi Malaysia kerana baka dari setiap negara mempunyai keunikan tersendiri.

Sehinggakan, ikan kelisa ini dipasangkan mikro cip dan mempunyai sijil bagi memastikan ketulenan baka yang dijual kepada peminat yang sanggup melabur untuk memiliki keunikan ikan itu.

Begitu terkenal sebagai ikan yang dipercayai individu tertentu mampu membawa tuah kepada si pemiliknya, kelisa juga sebenarnya antara ikan agak lasak.

Memandangkan ikan hiasan ini mendapat perhatian yang tinggi, terdapat penternak yang menawarkan jualan kepada si peminatnya.

Antara jenis ikan kelisa yang mendapat perhatian peminatnya ialah kelisa hijau, emas, merah dan perak. Lebih unik warna yang terdapat pada tubuh ikan berkenaan berkemungkinan mampu dijual pada harga yang lebih mahal.

SUDIRMAN mempunyai minat pelbagai jenis ikan perhiasan.
SUDIRMAN mempunyai minat pelbagai jenis ikan perhiasan.

Ikan kelisa dikatakan mempunyai jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun dan mampu mempunyai panjang sehingga 90 sentimeter.

Diet ikan kelisa seperti ulat, cengkerik, anak ikan dan udang. Selain itu, terdapat juga pemilik yang memberi makan tambahan supaya ikan kelisa milik mereka lebih sihat.

Bagi salah seorang peminat ikan kelisa tempatan, Sudirman Sahuk, 38, memiliki ikan itu kali pertama tujuh tahun lalu iaitu jenis kelisa Malaysia Golden.

Sudirman membeli ikan kelisa pertamanya yang mempunyai saiz ketika itu bersaiz antara 0.10 meter hingga 0.12 meter (empat hingga lima inci) atau berusia antara dua hingga enam bulan pada harga RM1,300 seekor.

Kelisa keduanya jenis Arowana Super Red yang dibeli daripada orang tengah pada RM1,500 seekor. Kini Arowana Super Red yang dimilikinya sudah berusia sekitar setahun.

Jelasnya, Kelisa Malaysia Golden atau dikenali sebagai Golden Arowana mempunyai sirap berona keemasan. Manakala, Arowana Super Red yang mempunyai warna kemerah-merahan pada sisiknya adalah ikan import dari Indonesia.

JENIS lampu yang digunakan untuk akuarium.
JENIS lampu yang digunakan untuk akuarium.

"Keunikan ikan kelisa ini terdapat daripada pelbagai perspektif si peminatnya kerana ada yang melihatnya semakin berkilau sisik, ia semakin unik. Malah, ada yang melihat pancaran warna sisik aslinya seperti warna emas atau merah menjadikan ia lebih unik.

"Bagi saya sebagai peminat ikan kelisa terdapat pelbagai ciri-ciri yang menarik perhatian peribadi untuk memilikinya. Antaranya kerana warna, lenggok ketika berenang dan ekor yang cantik apabila mengembang," katanya.

Jelasnya, ikan kelisa adalah ikan yang mudah untuk dijaga walaupun ia dalam kategori ikan perhiasan yang mahal kerana hidupan air itu tidak memerlukan kos yang tinggi dari segi pemakanan dan menyelenggara.

"Saya menjaga ikan kelisa di dalam akuarium yang mempunyai saiz panjang 1.2 meter (empat kaki) lebar 0.6 meter (dua kaki) dan tinggi 0.6 meter (dua kaki) supaya ikan ini boleh bergerak dengan lebih selesa.

"Selain itu, air juga tidak perlu kerap ditukar. Mengikut 'praktis' saya, cukup hanya seminggu sekali dengan membuang 20 peratus air di dalamnya dan menambahkannya kembali," katanya.

ULAT antara makanan yang dijadikan diet kepada ikan kelisa
ULAT antara makanan yang dijadikan diet kepada ikan kelisa

Jelasnya, kualiti air amat penting supaya ikan kelisa miliknya dalam keadaan sihat. Justeru, penggunaan penapis air untuk akuarium amat memainkan peranan penting.

"Selain itu, saya juga memastikan lumut tidak mudah hidup di dalam akuarium dengan memasang lampu ultra ungu (UV).

"Saya juga menggunakan lampu mayin supaya warna ikan kelisa di dalam akuarium lebih menonjol," katanya.

Tambahnya, dari segi diet ikan kelisanya, terdapat pelbagai makanan yang diberikan antaranya palet, udang yang siap dikopek, anak ikan dan cengkerik.

"Setiap hari saya memberi ikan ini makanan kecuali pada Ahad kerana ingin menukar air 20 peratus di dalam akuarium.

"Ikan ini perlu saya 'puasakan' kerana khuatir pertukaran air baharu menyebabkan ikan kelisa akan memuntahkan makanan yang dimakannya kerana masih belum serasi sepenuhnya dengan keadaan air yang baharu," katanya.

Sudirman menambah, ikan kelisa sememangnya menjadi terapi minda yang menarik untuk dia sekeluarga kerana warna dan pergerakannya di dalam air `nyata memberikan ketenangan.

"Bagi mereka yang memiliki ikan hiasan pasti merasakan perkara sama kerana ikan ini bagaikan terapi minda yang tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 7:00 AM