Chay Jefferys
Chay Jefferys
Agensi

London: Nyawa seorang bayi ternyata masih panjang walaupun dilahirkan ketika kandungan ibunya berusia 23 minggu.

Walaupun dinasihatkan doktor untuk mencabut mesin bantuan hayat, keputusan ibu bapanya untuk tidak berbuat demikian ternyata tepat.

Chay Jefferys yang dilahirkan dengan berat 0.4 kilogram (kg) pada 2 Jun tahun lalu menghabiskan sembilan bulan usianya dengan mendapat rawatan bagi penyakit paru-paru kronik.

Megan Mcgee, 19, meletakkan patung beruang ketika anak lelakinya masih di dalam inkubator di unit rawatan intensif Hospital Hillingdon, di sini.

Megan dan suaminya, Bradley Jefferys, 22, dua kali menolak nasihat doktor untuk mematikan mesin bantuan hayat anak mereka.

Selepas 280 hari di hospital, Chay akhirnya disahkan sihat dan dibenarkan pulang ke rumah.

Kini, selepas sembilan bulan, berat bayi itu meningkat menjadi 5.8kg dan patung beruang yang diberi nama Bluey terus menjadi teman karibnya.

"Ini sesuatu yang sangat menakutkan kerana saiz Chay sangat kecil.

"Saya sangat bersyukur dia tidak dilahirkan beberapa hari lebih awal kerana bayi yang dilahirkan minggu ke-23 dianggap terlalu pramatang," kata Megan yang juga suri rumah.

Katanya, mereka juga dimaklumkan sebelum ini bahawa bayi lelaki itu tidak boleh berjalan, bertutur atau tersenyum, namun kini anaknya itu boleh makan dengan baik dengan melemparkan senyuman.

Beliau berkata, mereka berdepan dengan hari yang sangat sukar dan menjadikan hospital sebagai rumah hampir setahun.

"Ia sesuatu yang begitu indah apabila kini dapat memandikannya dan berkumpul bersama keluarga," katanya.

Ketika mengandung, Megan tidak mengalami sebarang masalah dan terkejut apabila melahirkan Chay dalam tempoh pramatang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 6:30 AM