Taylor Swift (tengah) memang Album Terbaik tiga kali berturut-turut. FOTO AFP
Taylor Swift (tengah) memang Album Terbaik tiga kali berturut-turut. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Taylor Swift yang menang kategori Album Terbaik dalam Anugerah Grammy 2021 yang berlangsung di Los Angeles hari ini, mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi wanita pertama memenangi kategori itu tiga kali berturut-turut.

Swift, 31, yang menang kategori itu menerusi album Folklore pernah memenangi kategori sama menerusi album Fearless dan 1989 sebelum ini.

Bukan itu saja, Beyoncé juga melakar sejarah apabila membawa pulang Anugerah Grammy ke-28 miliknya dalam kategori Persembahan R&B Terbaik menerusi lagu Black Parade.

Ia sekali gus meletakkan Beyoncé artis wanita paling banyak memenangi anugerah dalam sejarah acara berprestij ini.

Beyoncé turut menang kategori Persembahan Rap Terbaik bersama Megan Thee Stallion untuk lagu Savage dan kategori Video Muzik Terbaik menerusi lagu Brown Skin Girl.

Apa yang menarik, lagu Brown Skin Girl turut menampilkan anaknya bersama penyanyi rap, Jay-Z, Blue Ivy Carter, 9,

Ia turut menjadikan Ivy menjadi calon kedua termuda memenangi anugerah berprestij itu.

Brown Skin Girl dilancarkan pada Ogos lalu, beberapa minggu selepas kemunculan album Beyonce, Black Is King.

Muzik video arahan Jenn Nkiru itu turut menampilkan beberapa selebriti kulit hitam iaitu Kelly Rowland, Lupita Nyong'o dan Namoi Campbell.

Sementara itu, Megan Thee Stallion muncul penyanyi rap wanita pertama meraih trofi Artis Baharu Terbaik.

Kali pertama merangkul trofi itu, kemenangan penyanyi berasal dari Houston itu bagai sudah dijangka.

Megan turut merangkul trofi Persembahan Rap Terbaik menerusi lagu Savage yang menampilkan Beyonce dalam pengumuman yang dibuat awal.

Selain Persembahan Rap Terbaik, Savage turut dicalonkan dalam dua kategori lain iaitu Lagu Rap Terbaik dan Rakaman Terbaik.

"Saya tidak mahu menangis. Ini adalah tahun yang teruk, namun kita berjaya melaluinya," katanya dengan air mata yang bergenang.

Megan mula menghasilkan lagu campuran melalui aplikasi SoundCloud ketika masih menuntut di kolej pada 2016.

Pada 2019, single nyanyiannya Hot Girl Summer dan Cash menjadi antara lagu kerap dimainkan di stesen radio.

Dalam pada itu, Billie Eilish yang menang besar tahun lalu membawa pulang trofi Rakaman Album Terbaik menerusi album Everything I Wanted.

Selain itu, impian kumpulan dari Korea Selatan, BTS untuk melakar sejarah sebagai artis K-pop pertama menerima trofi Anugerah Grammy tidak kesampaian apabila tewas kepada Lady Gaga dan Ariana Grande.

Gaga yang bekerjasama dengan Ariana menerusi lagu Rain On Me mengungguli kategori Persembahan Pop Duo & Berkumpulan Terbaik.

Berikutan pandemik Covid-19, BTS hanya membuat persembahan yang dirakam terlebih dahulu di Korea Selatan dan dipancarkan secara langsung.

Anugerah Grammy tahun ini yang berlangsung di Los Angeles dihoskan buat pertama kali oleh Trevor Noah serta dijalankan mengikut norma baharu berikutan penularan Covid-19. di Los Angeles.

Sebahagian anugerah juga diumumkan secara dalam talian menerusi siaran maya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 1:42 PM