PAPARAN x-ray paru-paru baharu Albert Khoury. FOTO AFP/ Northwestern Medicine
PAPARAN x-ray paru-paru baharu Albert Khoury. FOTO AFP/ Northwestern Medicine
Agensi

Washington: Doktor di Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan kejayaan pemindahan paru-paru berkembar ke atas pesakit yang menghidap kanser paru-paru.

Kejayaan itu memberikan harapan baharu kepada pesakit lain yang berada di peringkat serius kanser itu.

Albert Khoury, 54, yang juga bukan perokok menjalani tujuh jam pembedahan untuk menerima paru-paru baharu di Northwestern Medicine di Chicago, September lalu.

Selepas enam bulan, paru-paru itu berfungsi dengan baik dan tidak memberikan kesan kanser pada tubuh.

Ketua Pembedahan Thoracic Ankit Bharat berkata, pemindahan organ paru-paru untuk pesakit kanser sangat jarang berlaku dan hanya beberapa kes saja yang dilaporkan.

"Bagi pesakit yang mempunyai kanser tahap empat, pemindahan paru-paru dianggap mustahil tetapi kanser Khoury hanya terhad di dadanya.

"Jadi kami yakin dapat membersihkan semua kanser ketika pembedahan dan menyelamatkan nyawanya," katanya.

KHOURY selamat menjalani pembedahan pemindahan paru-paru berkembar. FOTO AFP/ Northwestern Medicine
KHOURY selamat menjalani pembedahan pemindahan paru-paru berkembar. FOTO AFP/ Northwestern Medicine

Pakar bedah kebiasaannya enggan meneruskan pemindahan itu kerana sekiranya terdapat sel kanser yang tinggal maka kemungkinan besar sel itu akan tumbuh semula.

Beberapa prosedur sama yang dilakukan sebelum ini tidak berjaya, namun kemajuan perubatan membolehkan doktor memahami mengenai penyebaran kanser lebih baik.

Khoury yang bekerja sebagai pembancuh simen di bandar Chicago mula mengalami sakit belakang, bersin, menggigil, batuk dan lendir pada awal 2020.

Pada mulanya dia menganggap itu adalah satu daripada simptom Covid-19 namun menghubungi doktornya apabila dia mengalami batuk berdarah.

"Selepas pemeriksaan lanjut, dia disahkan menghidap kanser paru-paru namun disebabkan pandemik Covid-19 rawatannya terpaksa ditangguhkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 6:30 AM