KANSER paru-paru.
KANSER paru-paru.
Zaitie Satibi

Selama beberapa dekad kanser paru-paru menjadi kanser yang paling lazim berlaku di dunia, malah dianggarkan 1.8 juta kes baharu dilaporkan pada 2012.

Kanser ini juga kerap berlaku dalam kalangan lelaki dan ketiga paling lazim dalam kalangan wanita.

Kanser jenis ini juga menjadi punca utama kematian akibat kanser di seluruh dunia dan menyumbang satu dalam setiap lima kematian akibat kanser.

Kadar tertinggi dianggarkan berlaku di Amerika Utara dan Eropah Utara, diikuti Asia Timur. Kadar terendah dicatatkan di Afrika Barat dan Afrika Tengah.

Kanser paru-paru antara kanser manusia yang paling agresif.

Pesakit yang masih hidup selepas lima tahun mempunyai kadar kelangsungan hidup sebanyak 10 hingga 15 peratus secara keseluruhannya.

Kadar pesakit kanser paru-paru tahap lanjut atau sudah di tahap empat yang masih hidup selepas lima tahun pula hanya sekitar dua peratus secara keseluruhannya.

Statistik di Malaysia pula menunjukkan 10 penduduk meninggal dunia akibat kanser paru-paru setiap hari.

Kanser paru-paru juga paling dibimbangi berikutan 90 peratus kes kanser ini atau sembilan dalam setiap 10 pesakit didiagnosis menghidap kanser paru-paru peringkat lanjut iaitu tahap tiga dan empat.

Kanser paru-paru terbentuk dalam tisu paru-paru, biasanya dalam sel yang melapisi salur udara.

Dua jenis kanser paru-paru adalah kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) yang merangkumi kira-kira 85 hingga 90 peratus kanser paru-paru.

Tiga subjenisnya yang utama ialah karsinoma sel skuamus (epidermis), adenokarsinoma dan karsinoma sel besar (tanpa beza).

Bagi kanser paru-paru sel kecil (SCLC) pula merangkumi kira-kira 10 hingga 15 peratus kanser paru-paru. Ia kerap kali bermula dalam bronkus bahagian tengah dada dan biasanya merebak luas ke seluruh badan pada peringkat awal penyakit.

Pilihan rawatan utama bagi pesakit kanser paru-paru bergantung pada peringkat penyakit dan faktor lain.

Antaranya, pembedahan, ablasi frekuensi radio (RFA), terapi sinaran, kemoterapi, terapi bersasar dan imunoterapi.

Bagi kebanyakan pesakit, mereka perlu menjalani lebih daripada satu rawatan berkenaan.

Bagi membantu pesakit kanser paru-paru menjalani rawatan dengan lebih berkesan, Merck, Sharp & Dohme (Malaysia) Sdn Bhd (MSD) melancarkan Keytruda (pembrolizumab) iaitu satu daripada komponen untuk rawatan gabungan antara imunoterapi dan kemoterapi yang pertama di Malaysia bagi tujuan rawatan kanser paru-paru peringkat lanjut.

Rawatan gabungan ini terbukti dapat mengurangkan kadar kematian akibat kanser paru-paru sebanyak 50 peratus berbanding rawatan kemoterapi semata-mata.

Ia juga diluluskan untuk 14 petunjuk bagi 11 jenis kanser di seluruh dunia dan diluluskan di Malaysia untuk lapan tanda bagi lima jenis tumor, menjadikannya terapi rawatan immuno onkologi yang paling luas di negara ini.

Pakar Perunding Onkologi, Dr Tho Lye Mun berkata, rawatan ini sudah tersedia untuk pesakit kanser paru-paru NSCLC iaitu jenis kanser yang merangkumi 85 sehingga 90 peratus kes kanser paru-paru.

“Gabungannya dengan kemoterapi menjadikannya kaedah rawatan pilihan utama ahli onkologi untuk pesakit yang didiagnosis dengan kanser paru-paru tahap lanjut selepas ia diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada Oktober 2018.

“Kaedah rawatan gabungan yang baharu antara Keytruda dan kemoterapi ini seiring dengan usaha membantu pesakit kanser paru-paru untuk terus bertahan,” katanya pada bual bicara kesihatan sempena pelancaran rawatan baharu untuk kanser paru-paru tahap lanjut keluaran MSD.

PELANCARAN rawatan baharu kanser paru-paru tahap lanjut disempurnakan (dari kiri) Dr Tho, Ashish, Dr Matin dan Dr Murallitharan.
PELANCARAN rawatan baharu kanser paru-paru tahap lanjut disempurnakan (dari kiri) Dr Tho, Ashish, Dr Matin dan Dr Murallitharan.

Turut hadir, Pakar Perunding Onkologi, Dr Matin Mellor Abdullah, Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Murallitharan dan Pengarah Urusan MSD Singapura dan Malaysia, Ashish Pal.

Dr Tho berkata, pada 10 hingga 15 tahun lalu, hanya kaedah kemoterapi digunakan bagi merawat pesakit kanser paru-paru.

“Saya mengalu-alukan penggunaan ubat ini dalam kombinasi rawatan kemoterapi yang boleh mengurangkan separuh risiko kematian, selain memanjangkan tempoh kadar jangka hayat dibandingkan menggunakan kemoterapi saja sekali gus dapat memberikan harapan kepada pesakit dan penjaga mereka,” katanya.

Simptom kanser paru-paru

• Batuk yang semakin teruk atau yang tidak sembuh-sembuh.

• Sakit dada.

• Nafas berdehit.

• Sesak nafas.

• Batuk berdarah.

• Rasa letih.

• Berat badan susut tanpa sebab yang diketahui.

• Pneumonia yang berulang-ulang ataupun nodus limfa bengkak dalam dada antara paru-paru.

• Kebanyakan pesakit kanser paru-paru tidak mengalami simptom sehingga kanser itu mencapai peringkat lanjut.

Faktor risiko

• Merokok di mana 80 peratus kematian akibat kanser paru-paru disebabkan oleh tabiat merokok.

• Asap perokok.

• Radon.

• Asbestos.

• Bahan-bahan lain di tempat kerja (seperti bijih radioaktif, bahan kimia atau galian yang disedut dan asap ekzos.

• Pencemaran udara.

• Terapi sinaran terhadap paru-paru.

• Arsenik dalam air minuman.

• Sejarah kanser paru-paru diri sendiri atau keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:04 AM